SIAPA sangka bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menang dalam pemilihan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, 23 Jun lalu. Boleh dikatakan banyak pihak yang terkejut dengan keputusan itu. Sebelum pemilihan diadakan, beliau langsung tidak diletakkan sebarang harapan berbanding calon-calon lain.
Fokus lebih tertumpu kepada saingan antara bekas Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Senator Khairul Azwan Harun dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Pahang, Datuk Mohd. Shahar Abdullah.
Namun, inilah kehendak akar umbi dan lebih penting inilah ketentuan Ilahi. Yang pasti kemenangan beliau ini memberikan satu isyarat yang cukup jelas. Isyaratnya, ahli-ahli Pemuda di peringkat akar umbi mahu UMNO berubah.
Mereka mahu UMNO kembali kepada perjuangan asal dan bukannya UMNO yang diselubungi keangkuhan, kesombongan dan kemewahan hinggakan perjuangan membela rakyat hanya sekadar retorik. Oleh itu, jalan terbaik adalah melalui perubahan kepemimpinan.
Jika diteliti latar belakang Asyraf Wajdi, beliau berasal daripada keluarga yang amat menitikberatkan soal agama dan tidak hairanlah bekas pensyarah itu seorang yang mahir dalam ilmu agama selain pakar dalam bidang kewangan Islam.
Mungkin disebabkan kelebihannya itu serta ketokohannya sebagai pemimpin, majoriti perwakilan memilihnya untuk menerajui sayap UMNO ini untuk tempoh tiga tahun akan datang. Sememangnya kemenangan Asyraf Wajdi itu bakal memberikan satu suntikan baharu dalam siri perjuangan Pemuda bagi sesi 2018-2021.
Apapun banyak pihak yang berpandangan jawatan yang disandang oleh Asyraf Wajdi ini amat berat, apatah lagi dengan kedudukan UMNO sebagai parti pembangkang. Hakikat tersebut diakui sendiri oleh Asyraf Wajdi.
Beliau sedar beban yang bakal dipikulnya selepas ini. Terlalu banyak perkara yang perlu diperbetulkan dan paling utama, meletakkan semula UMNO pada landasannya yang asal. Yang dikatakan perjuangan asal UMNO katanya ialah memperjuang serta mempertahankan kepentingan Islam dan Melayu.
“Asas perjuangan ini perlu kita kembalikan. Perlu kita letakkannya pada landasan yang sebenar. Langkah ini perlu disegerakan demi satu perubahan buat UMNO. Sedarlah, rakyat kini sedang memerhatikan kita sama ada UMNO benar-benar mahu berubah atau sebaliknya.
“Rakyat mahu melihat adakah gaya UMNO masih bermewah-mewah seperti di puncak kekuasaan atau sedar tentang hukuman serta peringatan yang diberikan oleh Allah SWT. Semuanya ini perlu diberikan perhatian agar UMNO bangkit semula demi kepentingan Islam dan Melayu,” katanya.
Ada benarnya kata-kata Asyraf Wajdi itu memandangkan kepada corak perjuangan UMNO sebelum ini yang dilihat semakin tersasar ekoran terlalu lama berada di puncak kekuasaan. Akibatnya rakyat menolak Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi oleh UMNO pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), 9 Mei lalu.
“Sungguhpun begitu, saya tetap bersyukur apabila UMNO masih mampu menguasai 54 kerusi. Ini menunjukkan UMNO masih lagi diterima dan masih lagi relevan dalam kalangan orang Melayu kita. Ini juga menunjukkan Allah masih memberikan kita peluang. Peluang untuk bangkit dan berubah,” ujarnya.
Sehubungan itu katanya jangan dipersia-siakan peluang yang diberikan itu, sekiranya tidak, nasib UMNO akan menjadi lebih buruk terutama pada PRU-15 kelak.
Ketika ditanya langkah seterusnya selepas ini, Asyraf Wajdi berkata, seperti mana yang diikrarkan sebelum ini, beliau akan melaksanakan agenda besar 5P iaitu pengkaderan, pentarbiyahan, pembudayaan ilmu, pemerkasaan rohani dan pemantapan jati diri dalam Pemuda.
“Kesemua 5P ini terkandung dalam manifesto saya ketika bersaing merebut jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO. Saya akan berusaha melaksanakannya agar kita mampu melahirkan pemimpin dan ahli-ahli Pemuda yang mempunyai akhlak mulia, berintegriti, berjiwa kental dan mempunyai jati diri yang hebat,” ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan Asyraf Wajdi berkata, persaingannya merebut jawatan Ketua Pergerakan Pemuda dilakukan secara individu kerana baginya itulah kaedah terbaik untuk mengelakkan perpecahan.
“Bertanding secara individu adalah paling baik. Jika kita membentuk pasukan (untuk bertanding) akhirnya akan mewujudkan puak. Disebabkan isu berpuak-puak, parti yang akhirnya akan hancur kerana tiada lagi perpaduan.
“Saya sendiri tidak tahu siapakah Naib Ketua dan exco-exco saya (belum kenal secara mendalam). Semuanya saya serahkan kepada para perwakilan untuk menentukannya. Saya tidak ada senarai siapakah pasukan saya. Sesiapa yang terpilih saya akan bekerjasama rapat dengan mereka,” katanya lagi.
Begitu juga dengan barisan kepemimpinan di peringkat pusat daripada Presiden, Timbalan Presiden, Naib-Naib Presiden dan Ahli Majlis Tertinggi (MT), kata Asyraf Wajdi bahawa beliau akan menjalinkan hubungan yang baik kepada sesiapa yang terpilih.
“Kita perlu meletakkan kepentingan parti daripada segala-galanya. Jadi, sesiapa yang dipilih menjadi Presiden, Timbalan Presiden, Naib-Naib Presiden dan MT oleh para perwakilan, perlu kita berikan sokongan dan sepenuh kerjasama kepada mereka,” katanya lagi.
Tekad dan ikrar yang diberikan oleh Asyraf Wajdi ini jelas memperlihatkan kesungguhannya untuk mengembalikan semula UMNO dan Pergerakan Pemuda UMNO pada landasannya yang asal yakni perjuangan Alif (agama) Ba (bangsa) Ta (tanah air),
Apa pun segala-galanya masih baharu. Mahu tidak mahu dalam tempoh tiga tahun ini Asyraf Wajdi harus membuktikan yang beliau mampu membawa perubahan kepada perjuangan Pemuda terutama janjinya untuk membuang ‘pakaian’ elit dan bangsawan yang selama ini dikaitkan dengan pergerakan itu.
Jika janji ini berjaya ditunaikan, penulis yakin dan percaya Pergerakan Pemuda UMNO bukan sahaja akan disenangi rakyat malah mampu menjadi pemangkin kepada perubahan UMNO keseluruhannya. Selamat bertugas Datuk.











