KUALA LUMPUR 19 Jun – Bekas Ahli Parlimen Parit Buntar, Tan Sri Abdul Rahman Sulaiman yang menawarkan diri merebut jawatan Ahli Majlis Tertinggi UMNO bertekad untuk memulihkan semula imej parti yang tercalar teruk ketika ini.
![]() |
|
ABDUL RAHMAN
|
Abdul Rahman yang juga bekas Pengerusi Bernama dari 2010 hingga 2016 berkata, sebagai sebuah parti Melayu dan Islam tertua serta terbesar di negara ini, UMNO wajib dipulihkan supaya kembali menjadi sebuah institusi yang berwibawa, dihormati dan disegani semua pihak.
Katanya, pengalaman luas yang dimiliki selama lebih enam tahun dalam Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) semasa krisis kewangan Asia pada 1997 dan pengalaman keseluruhan lain dalam dunia kewartawanan serta bidang berkaitan selama 52 tahun mampu menyumbang ke arah pemulihan UMNO.
“Sebagai sebuah institusi, parti ini tidak boleh dibiarkan berkubur tanpa nisan. Kita wajib memastikan UMNO terus tegak berdiri gah sebagai benteng bukan sahaja untuk mempertahankan kepentingan Melayu dan bumiputera, tetapi juga kepentingan sah kaum lain, kemurniaan agama Islam dan kedudukan raja-raja Melayu.
“Setelah berfikir panjang dan menyedari keperluan memulihkan imej UMNO yang kini amat tercalar akibat mainan persepsi oleh parti lawan, dengan penuh keinsafan dan tawaduk, saya mengambil keputusan untuk kembali lebih aktif dalam politik,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Abdul Rahman menawarkan diri untuk menjadi calon Ahli Majlis Tertinggi dan Ketua UMNO Bahagian Parit Buntar dalam pemilihan parti yang akan diadakan pada 30 Jun ini.
Seramai 124 calon bakal merebut 25 tempat bagi jawatan Ahli Majlis Tertinggi UMNO dalam pemilihan bagi penggal 2018-2021 dengan senarai penuh calon yang layak akan diumumkan esok.
Mengulas lanjut, Abdul Rahman menegaskan, tiada parti selain UMNO yang mampu memainkan peranan untuk melindungi kepentingan Melayu dan agama Islam.
“Saya merayu kepada semua perwakilan UMNO yang akan bersidang pada 30 Jun ini agar memberi peluang kepada saya untuk berkhidmat kepada agama, bangsa dan tanah air,” ujarnya.











