KUALA LUMPUR – Jaringan lewat permainan daripada pemain pertahanan, Jose Maria Gimenez berjaya menyelamatkan maruah Uruguay dalam kempen Piala Dunia 2018 FIFA apabila menang tipis 1-0 ke atas Mesir dalam aksi Kumpulan A di Stadium Central, Ekarerinburg, Rusia malam ini.
Uruguay yang merupakan juara dua kali pada edisi 1930 dan 1938, bagaimanapun dipaksa berhempas pulas untuk mengatasi wakil dari Afrika itu yang turun dalam penampilan pertama di Piala Dunia dalam masa 28 tahun (kali ketiga selepas 1934 dan 1990).
Mesir, pasukan ranking ke-45 dunia, jelas tidak gugup menentang Uruguay, pasukan No. 14 dunia yang telah menyertai kejohanan ini sebanyak 13 kali sejak 1930.
Ketiadaan ‘anak emas’, Mohamed Salah yang tidak diturunkan kerana masih belum cergas selepas pulih daripada kecederaan, menjejaskan pergerakan jentera serangan Mesir yang dilihat kekurangan idea menembusi benteng lawan mereka daripada Amerika Selatan itu.
Bagi Uruguay pula, meskipun menurunkan dua penyerang bintang, Luis Suarez dan Edison Cavani, wakil dari Amerika Selatan itu tetap gagal menghadirkan gol meskipun beberapa percubaan berbahaya dua pemain ini berjaya diselamatkan penjaga gol lawan dan terkena tiang.
Namun, mujur tandukan Gimenez pada lewat permainan berjaya memberi kelegaan buat kem Uruguay, sekali gus menghadiahkan tiga mata berharga dalam kempen ini.
Keputusan tersebut juga bermakna skuad kendalian Oscar Tabarez berada di tangha kedua Kumpulan A di belakang tuan rumah, Rusia yang menang besar 5-0 ke atas Arab Saudi pada aksi pembukaan di Moscow malam semalam.
Aksi kedua peringkat kumpulan ini akan menyaksikan Mesir bertemu dengan Rusia manakala Uruguay berdepan Arab Saudi pada Rabu depan. – K! ONLINE










