TUNIS 4 Jun – Nama Mouez Hassen mungkin kedengaran asing bagi peminat sukan bola sepak dunia.
Namun namanya menjadi sebutan apabila ‘berpura-pura’ cedera ketika dua perlawanan persahabatan menjelang Piala Dunia bagi membolehkan rakan sepasukannya berbuka puasa.
Lapor Al-Jazeera, pemain pasukan Tunisia merancang strategi berkenaan supaya mereka dapat berbuka puasa ketika perlawanan.
Ketika perlawanan menentang Portugal dan Tunisia ketinggalan 2-1, Mouez dilihat ‘mengadu’ mengalami kecederaan pada minit ke-58.
Tindakan itu membolehkan rakan sepasukannya berlari ke tepi padang dan menjamah sedikit minuman dan kurma.
Selepas permainan diteruskan, Tunisia menyumbat gol penyamaan dan mengikat juara Eropah itu dengan keputusan 2-2 sehingga tamat perlawanan.
Mouez juga dilihat melakukan tindakan serupa ketika menentang Turki pada Sabtu lalu.
Penjaga gol itu ‘terbaring kesakitan’ ketika permainan memasuki minit ke-49.











