SEJAK beberapa hari lalu, perang siber dalam kalangan netizen kembali memuncak. Semuanya tercetus selepas kenyataan yang dibuat Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada Rabu, 30 Mei lalu.
Pada mesyuarat kedua Kabinet yang dipengerusikan Dr. Mahathir di Putrajaya itu, beberapa perkara telah diputuskan oleh kerajaan Pakatan Harapan.
Penulis melihat ada tiga perkara yang menjadi perdebatan hangat sehingga menjadi isu besar dalam kalangan netizen.
Pertama, penubuhan Tabung Harapan Malaysia; kedua, kos penyiaran siaran langsung Piala Dunia 2018 menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan ketiga, fungsi Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) akan dikaji semula.
Dalam kalangan netizen terbabit, masing-masing sibuk mahu menjadi ‘penasihat kerajaan’. Mereka seakan-akan berlumba-lumba untuk menjadi pakar ekonomi, pakar kewangan, pakar strategis mahupun pakar agama. Bagi mereka, setiap apa yang dilontarkan itu ada asas dan kebenarannya sehingga kadang-kadang mereka lupa sisi sebenar diri sendiri.
Ingin penulis nasihatkan, netizen sepatutnya tidak cepat melatah dengan setiap keputusan yang dibuat kerajaan pimpinan Dr. Mahathir ketika ini. Penulis tahu kebanyakan mereka ini hanya ‘dengar cakap’ (hear say). Jadi mereka tidak dapat gambaran yang sebenar tentang apa yang dinyatakan Dr. Mahathir pada waktu itu.
Bercakap mengenai Tabung Harapan Malaysia, kita selaku rakyat Malaysia yang cintakan negara seharusnya melihat ia dari sudut pandang positif. Atas semangat cintakan negara, ada pihak yang mengusulkan agar satu tabung khas diwujudkan untuk mengurangkan beban hutang negara. Usul yang dikemukakan itu dipersetujui Jemaah Menteri yang akhirnya menyaksikan penubuhan Tabung Harapan Malaysia.
Jadi, Tabung Harapan Malaysia tidak seharusnya dijadikan isu oleh sesiapa atau mana-mana pihak kerana ia diwujudkan atas dasar keprihatinan rakyat Malaysia itu sendiri. Usaha ini seharusnya dipuji kerana mereka sanggup berkorban demi sayangkan negara yang tercinta.
Mengenai kos penyiaran siaran langsung Piala Dunia 2018 di RTM1 yang mencecah RM30 juta, ada juga pihak tidak bersetuju dengan apa yang diputuskan kerajaan. Bagi mereka, buat apa kerajaan membazir dan berbelanja ke arah itu sedangkan kewangan negara cukup ‘tenat’ ketika ini sehingga kerajaan terpaksa menubuhkan Tabung Harapan Malaysia.
Sekali lagi, mungkin ada yang terlupa atau tidak tahu, RTM sudah lama menyiarkan Piala Dunia. RTM pernah menyiarkan sebanyak lapan daripada empat perlawanan secara langsung seperti yang dirancang berkat derma daripada rakyat Malaysia pada tahun 1982. Hanya mungkin ini kali pertama penyiarannya dalam skala lebih besar iaitu 41 daripada 64 perlawanan – 27 perlawanan ditayangkan secara langsung manakala 14 perlawanan lain melalui siaran tertunda.
Harus diingat, tidak semua rakyat Malaysia dapat menonton Piala Dunia menerusi stesen televisyen berbayar seperti Astro. Jadi RTM menjadi satu-satunya saluran televisyen untuk mereka ‘menikmati’ perlawanan bola sepak berkelas dunia. Harapnya tidak ada lagi yang bertelagah mengenai isu ini. Semalam juga Menteri Kewangan, Lim Guan Eng telah menyatakan, kerajaan tidak mengeluarkan sesen pun untuk kos penyiaran Piala Dunia di RTM tetapi semuanya atas duit penajaan.
Soal fungsi Jakim yang akan dikaji semula, penulis nasihatkan janganlah ada pihak yang sengaja memutar belit kenyataan Dr. Mahathir. Penulis sendiri hadir pada sidang media pada hari berkenaan dan penulis tidak sesekali mendengar kenyataan Dr. Mahathir yang mahu memansuhkan Jakim. Kepada mereka yang sengaja memperbesar-besarkan isu ini, sebaiknya dapatkan maklumat dan berita yang sahih sebelum membuat sebarang telahan.
Ketika ditanya pihak media tentang peranan Jakim, Dr. Mahathir memberitahu perkara itu tidak dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet. Bagaimanapun, beliau tetap menjawab soalan yang dibangkitkan dengan memberitahu kerajaan akan melihat semula peranan Jakim sama ada perlu dikekalkan atau dikembalikan kepada tujuan asal penubuhannya.
Pesan penulis, bagi rakyat Malaysia yang cintakan negara, anda seharusnya membantu kerajaan dengan membina Malaysia baharu. Jika kita tidak mampu untuk menyumbang untuk negara, lebih baik kita juga tidak perlu keluarkan kenyataan dengan kata-kata sumbang.









