GEORGE TOWN – Kerajaan mengumumkan tidak akan mengeluarkan sebarang perbelanjaan bagi menyiarkan secara langsung perlawanan bola sepak Piala Dunia 2018 dari Rusia yang melibatkan kos sebanyak RM30 juta.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, perbelanjaan itu sebaliknya akan ditanggung oleh beberapa syarikat swasta yang akan memberi penajaan bagi siaran di saluran Radio Televisyen Malaysia (RTM).
“Sungguhpun kita keluarkan RM30 juta, tetapi kita akan dapat balik wang itu daripada iklan-iklan dan tajaan syarikat swasta sebanyak RM30 juta. Mereka (syarikat swasta) akan dapat balik pulangan menerusi iklan semasa perlawanan siaran langsung yang disiarkan.
“Ini bermakna, kerajaan Persekutuan tidak akan membelanjakan satu sen pun untuk siaran langsung itu,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Ketua Menteri di Komtar di sini semalam.
Turut hadir Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.
Pada sidang akhbar itu, Kon Yeow turut mengumumkan pihaknya menerima derma berjumlah RM3 juta untuk disumbangkan kepada Tabung Harapan Malaysia yang dilancarkan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad baru-baru ini.
Sumbangan itu diberikan oleh syarikat swasta, Ewein Bhd. dan Magni-Tech Industries Bhd. serta ahli perniagaan, Tan Sri Tan Kok Ping yang masing-masing menyumbang sebanyak RM1 juta.
Dalam pada itu, Guan Eng berkata, semua rakyat negara ini yang meminati Piala Dunia 2018 dapat menonton secara percuma temasya bola sepak itu berikutan penyiaran perwanan itu di saluran RTM.
Sementara itu, Guan Eng berkata, jumlah kutipan Tabung Harapan Malaysia bagi membantu membayar hutang negara yang dilancarkan pada 31 Mei lalu setakat 9.30 pagi semalam telah mencecah RM27 juta.










