KUALA LUMPUR – Walaupun jumlah yang dikutip oleh Tabung Harapan Malaysia agak kecil berbanding jumlah hutang negara yang melebihi RM1 trilion, sumbangan itu mungkin digunakan untuk membayar hutang pada tarikh lebih awal.
Hutang negara melebihi RM1 trilion manakala sumbangan kepada Tabung Harapan Malaysia sebanyak RM66.67 juta sehingga pukul 3 petang, Khamis lalu.
Ketua Ekonomi RHB Research Institute Sdn. Bhd., Peck Boon Soon berpendapat dana itu mungkin menyumbang kepada faedah bon 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bernilai RM810.21 juta yang dijadualkan antara September dan November tahun ini.
“Walaupun saiz dana agak kecil berbanding jumlah hutang yang besar, saya yakin ia akan dibelanjakan untuk menyelesaikan hutang dan bukan untuk tujuan lain memandangkan dana masyarakat itu digerakkan atas semangat patriotik sebagai tanda sokongan rakyat kepada kerajaan,” katanya kepada Bernama.
Fungsi sebenar Tabung Harapan Malaysia dikritik sejak pembukannya pada 30 Mei lepas.
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menjelaskan bahawa dana masyarakat itu bertujuan mengurangkan hutang negara dan diwujudkan sebagai respond kepada keprihatinan rakyat terhadap salah urus oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).
Boon Soon berkata, Malaysia bukanlah negara pertama yang melancarkan dana masyarakat di peringkat kebangsaan kerana Korea Selatan telah memulakan kempen pengumpulan dana yang sama semasa krisis kewangan Asia 1997/98 atau lebih dikenali sebagai krisis IMF (Dana Kewangan Antarabangsa) dalam kalangan penduduk tempatan.
Ditanya sama ada kerajaan sepatutnya menetapkan garis masa atau sasaran mengutip dana itu sebagai panduan jelas untuk rakyat ‘menyelamatkan’ negara, Boon Soon berkata, ia hanyalah kempen patriotisme.
“Lebih-lebih lagi, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng telah menyebut sebelum ini bahawa tidak ada had sumbangan,” katanya sambil menambah beliau percaya saiz dana akan terus berkembang seiring waktunya.
Guan Eng dilaporkan bahawa hutang negara berjumlah RM1 trilion pada 31 Disember 2017 termasuk hutang kerajaan Persekutuan sebanyak RM686.8 bilion ditambah jaminan kerajaan berjumlah RM199.1 bilion untuk membayar bagi pihak entiti yang tidak mampu membayar hutang mereka. – Bernama










