KUALA LUMPUR 10 Jun – Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang aktif menjalankan aktiviti kesukarelaan di Syria, Syria Care berjaya mengutip dana yang mencukupi bagi menyediakan juadah berbuka puasa dan sahur untuk mangsa konflik di enam lokasi berbeza di Syria.
Berita gembira tersebut disampaikan melalui sebuah hantaran di laman Facebook rasmi Syria Care pada dua hari lalu dan berdasarkan pemerhatian Utusan Malaysia pada ruangan komen hantaran tersebut, orang ramai masih lagi berminat memberikan sumbangan untuk projek tersebut.
“Pihak Syria Care sangat teruja untuk berkongsi maklumat terkini tentang pengumpulan dana bagi penyediaan iftar dan sahur Syria Care di Syria.
“Sumbangan yang terkumpul sudah mencapai sasaran bagi penyempurnaan operasi keenam-enam dapur untuk penyediaan iftar dan sahur lokasi di Syria, iaitu Afrin, Timur Idlib, Latakia, Taftanaz, Jarablus, Turkman Bareh dan Pinggiran Utara Aleppo sehingga akhir Ramadan,” tulisnya seperti dipetik dalam hantaran tersebut.
Permohonan sumbangan untuk operasi dapur Dapur Ramadan ini telahpun bermula sejak Mac yang lalu bagi membolehkan para petugas membuat persediaan yang lebih rapi. – UTUSAN ONLINE










