Synergy Promenade tuntut ganti rugi RM100 juta daripada Shahrir - Utusan Malaysia

Synergy Promenade tuntut ganti rugi RM100 juta daripada Shahrir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 4 Jun – Pemaju Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) iaitu Synergy Promenade Sdn. Bhd. (SPSB) hari ini me­nyaman Tan Sri Shahrir Abdul Samad untuk menuntut ganti rugi berjumlah RM100 juta berhubung beberapa siri kenyataan beliau terhadap syarikat tersebut yang didakwa berunsur fitnah.

Memuatkan artikel berkaitan…

SHAHRIR ABDUL SAMAD

Saman tersebut difailkan oleh Pengarah Pembangunan Perniagaan syarikat itu, Datuk Marina Hashim di Mahkamah Tinggi di sini melalui firma guaman Tetuan Reza Rahim & Rajivan.

Menurut peguam Mohamed Reza Rahim, saman berkenaan difailkan oleh SPSB terhadap Shahrir atas kapasiti peribadi beliau yang ketika itu Pengerusi Felda supaya bertanggungjawab atas kenyataannya yang didakwa tidak benar.

Kenyataan tersebut membabitkan tanah Felda apabila agensi tersebut dikatakan berisiko kehilangan tanah miliknya di Jalan Semarak menerusi transaksi pindah milik yang didakwa diragui sejak 2015.

Selain menuntut ganti rugi, Mohamed Reza memberitahu, SPSB selaku pihak plaintif me­nuntut perintah injunksi supaya Shahrir tidak membuat sebarang kenyataan mengenai syarikat itu.

Pihak plaintif juga menuntut agar Shahrir yang dinamakan sebagai pihak defendan memberi aku janji bertulis untuk tidak mengulangi kenyataan beliau dan membuat permohonan maaf kepada pihak plaintif.

Mohamed Reza berkata, ke­nyataan yang dibuat oleh Shahrir merupakan suatu pernyataan yang salah sehingga menjatuhkan reputasi pihak plaintif mengakibatkan anak guamnya kehilangan projek-projek sedang dilaksanakan.

Kenyataan-kenyataan tersebut didakwa dibuat oleh Shahrir sejak November 2017 sehingga Mac lalu.

Salinan pernyataan tuntutan­ itu bagaimanapun tidak di­be­kalkan kepada pihak media atas alasan perlu menyerahkannya terlebih dahulu kepada pihak defendan.

Sementara itu, Shahrir dalam sidang akhbar hari ini berkata, beliau tidak menolak kemungkinan akan disaman RM100 juta disebabkan dirinya menjadi sasaran mudah.

Ini kerana menurutnya, sesiapa sahaja mudah untuk mendapatkan maklumat tentang di­rinya, misalnya e-mel beliau daripada Google.

“Saya tiada wang walaupun andainya mereka iaitu SPSB menang pun saya tidak mampu untuk membayar ganti rugi RM100 juta. Mereka boleh mengisytiharkan saya sebagai seorang yang muflis.

“Saya tidak akan memohon maaf atas kenyataan-kenyataan yang saya buat semasa menjadi Pengerusi Felda,” katanya.

Bekas Ahli Parlimen Johor Bahru itu mendakwa, beliau sebenarnya tidak tahu mengapa dirinya disaman oleh SPSB walaupun telah menerima surat tuntutan (LOD) daripada firma guaman yang bertindak bagi pihak SPSB pada 24 Mei lalu.

Ditanya mengenai kandungan LOD tersebut, beliau berkata, kandungannya adalah sulit dan tidak boleh didedahkan kepada umum.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini