KUALA LUMPUR 1 Jun – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, 26, memohon maaf kepada para wartawan yang terasa hati dengan tingkah laku pembantu peribadinya ketika pertemuannya dengan pihak media sebaik memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14) pada 9 Mei lalu.
Menurutnya, bukan itu sahaja, sepanjang kempen pilihan raya berlangsung, rakan-rakan media telah banyak membantu beliau termasuk memberikan liputan meluas terhadap perjuangannya di pentas politik tanah air.
“Saya minta maaf atas sebarang kesulitan yang berlaku. Rakan-rakan media banyak membantu saya dan sesekali tidak akan lupa jasa mereka.
“Dari lubuk hati paling dalam, saya minta maaf sekali lagi. Saya akan panggil mesyuarat untuk bincangkan mengenai perkara ini supaya ia tidak akan berulang lagi. Terima kasih,” katanya.
Syed berkata demikian menerusi komen balas yang ditinggalkannya di laman Instagram @deegunrahman milik wartawan Utusan Malaysia bernama Mohd. Ifqdar Abdul Rahman.
Terdahulu, pada minggu lalu selepas berkunjung ke ibu pejabat Utusan Melayu Malaysia Berhad, para wartawan syarikat akhbar tersebut meluahkan ketidakpuasan hati mereka ketika berurusan dengan pembantu peribadi kepada beliau.
Justeru, mewakili rakan-rakan wartawan di bawah satu bumbung, Mohd. Ifqdar telah memuat naik sekeping foto bersama Syed di media sosialnya berserta kapsyen berbentuk teguran kepada ahli politik muda berkenaan.
Lebih mengejutkan, entri tersebut mendapat pelbagai reaksi daripada petugas media organisasi lain yang turut sama berkecil hati dengan sikap pembantunya.
Selang beberapa hari kemudian, Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia itu membalas entri berkenaan dan berjanji akan memperbaiki kelemahan yang ada. – UTUSAN ONLINE










