YEKATERINBURG, Rusia 28 Jun – Sweden membuktikan mereka layak ke pusingan 16 pasukan terakhir apabila menguasai sebahagian besar permainan sebelum menewaskan Mexico 3-0 dalam aksi terakhir Kumpulan F di Arena Ekaterinburg, semalam.
Mexico tidak berupaya untuk mengasak kubu Blagult selepas rehat dan walaupun tewas namun skuad kendalian Juan Carlos Osorio tetap mara ke peringkat kalah mati terima kasih kepada Korea Selatan yang mengejutkan Jerman 2-0 dalam satu lagi aksi kumpulan.
Sweden melepasi peringkat kumpulan buat kali pertama sejak 2006 manakala Mexico mara ke peringkat kalah mati buat kali ketujuh berturut-turut dan penyokong El Tri begitu terdesak untuk menyaksikan negara mereka mara ke suku akhir buat kali pertama dalam tempoh 32 tahun.
“Pasukan kami berkembang sedikit. Saya tidak akan duduk di sini dan bergembira dengan kemenangan ini. Kami tidak mahu mengganggu banyak perkara,” kata jurulatih Sweden Janne Andersson.
Sweden memperoleh gol pertama hasil sepakan voli Ludwig Augustinsson lima minit selepas rehat sebelum kapten, Andreas Granqvist menyempurnakan penalti. Gol ketiga diperoleh hasil jaringan sendiri Edson Alvarez pada minit ke-74.
“Beberapa hari lalu kami tewas di saat akhir kepada Jerman, sekali gus memberi ruang kepada Mexico untuk mara jika mereka menang ke atas kami namun masih perlu bergantung kepada jumlah gol dihasilkan,” kata Augustinsson.
Meskipun tewas, peminat Mexico lebih berminat untuk mengetahui keputusan perlawanan Jerman menentang Korea Selatan kerana nasib mereka ditentukan daripada aksi tersebut.
“Kami boleh katakan kami sudah layak sebab kami menewaskan Jerman dan Korea Selatan. Bagaimanapun, saya terluka,” kata jurulatih Mexico, Juan Carlos Osorio. – AP










