JOHOR BAHRU – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar semalam memaaf dan mengampunkan peguam Kamal Hisham Jaafar daripada segala perbuatan, persuratan, perlakuan serta tindakan yang dibuat oleh beliau sama ada dengan sengaja atau tidak sengaja terhadap baginda.

Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli dalam satu kenyataan yang dimuat naik dalam laman Facebook rasmi Sultan Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat susulan permohonan maaf yang diterima baginda daripada Kamal Hisham.
Selain itu, ia adalah atas nasihat Jumaah Majlis Diraja serta mengambil berkat bulan Ramadan.
“Dengan limpah keikhlasan Tuanku yang amat sangat, suka sedia dan berkenan menerima permohonan tersebut dan mengampunkan Kamal Hisham tanpa apa-apa syarat.
“Tuanku berharap Kamal Hisham akan dapat meneruskan kehidupannya dengan kesejahteraan, aman dan damai,” kata beliau dalam laporan Bernama.
Kamal Hisham, 47, sebelum ini, berdepan dua pertuduhan pecah amanah melibatkan wang sebanyak RM533,000, sembilan pertuduhan terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram sebanyak RM150,000 dan enam pertuduhan di bawah Akta Syarikat.
Beliau bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan dan sedang dibicarakan.
Kamal tidak dibenarkan ikat jamin dan ditahan di Pusat Tahan Ayer Molek, Johor Bahru sejak 2015.










