Suarez, Cavani kini sudah temui rentak - Utusan Malaysia

Suarez, Cavani kini sudah temui rentak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NIZHNY NOVGOROD, Rusia 28 Jun – Uruguay terpaksa menunggu 12 tahun untuk melihat Luis Suarez dan Edinson Cavani menjaringkan gol Piala Dunia dalam perlawanan yang sama.

Buat kali pertama, kedua-dua bintang penyerang tersebut meledak gol ketika membantu Uruguay membenam Rusia 3-0 dalam aksi terakhir Kumpulan A, Isnin lalu, keputusan yang melegakan jurulatih La Celeste, Oscar Tabarez.

“Adalah amat penting buat penyerang berjaya menjaringkan gol.

“Biarkan mereka bergerak mengikut rentak sendiri. Bukan kerana mementingkan diri tetapi kerana mereka banyak menyumbang. Saya percaya, ia sangat penting buat Edi dan Luis dapat menjaringkan gol,” kata Tabarez.

Kedua-dua pemain, yang membantu Uruguay menjuarai Kumpulan A dengan rekod sempurna tiga kemenangan berturut-turut perlu memberi aksi terbaik apabila pasukan itu menentang Portugal, yang diperkuatkan oleh Cristiano Ronaldo dalam saingan 16 akhir di Sochi, Sabtu ini.

Menentang Rusia, Isnin lalu, Suarez meledak gol menerusi sepakan bekas rendah yang melepasi tembok pemain Rusia sebelum menerjah ke penjuru kanan gawang.

Cavani pula menyudahkan bola yang gagal ditepis kemas oleh penjaga gol Rusia berpunca daripada tandukan kapten Uruguay, Diego Godin.

Ini adalah gol ketujuh Suarez dalam tiga penampilan Piala Dunia, manakala bagi Cavani, jaringan itu adalah yang ketiga buatnya.

Cavani, 31, memiliki rekod digeruni di peringkat kelab apabila meledak 323 gol sepanjang 12 tahun bersama Danubio, Palermo, Napoli dan kini, Paris Saint Germain tetapi gagal mengulangi kecemerlangan itu pada Piala Dunia.

Dia hanya menjaringkan satu gol di Afrika Selatan pada 2010 ketika Uruguay melangkah ke separuh akhir, selain di Brazil 2014, ketika pasukannya tersingkir pada pusingan 16 akhir.

“Statistik akan dipecahkan,” kata Suarez. – AP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN