MARAN – Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang menjelang tiba jadi hambar bagi seorang peniaga kedai runcit apabila empat insan yang disayangi termasuk isteri tercinta hilang dalam sekelip mata setelah terlibat dalam kemalangan di Kilometer 161 Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) pagi tadi.
Bagi Mazlan Mohd. Rashid, 54, walaupun perit untuk diterima, namun dia terpaksa reda dengan takdir sambil berdoa agar roh isteri dan tiga anaknya ditempatkan bersama orang beriman.
Mazlan yang ditemui di luar Unit Forensik Hospital Jengka di sini berkata, isteri dan lima anaknya bertolak ke Kuala Lumpur pada Jumaat lalu membeli barangan keperluan untuk persiapan sempena Syawal.
“Kali terakhir isteri menghubunginya pada pukul 11 malam tadi ketika mereka baru hendak bertolak pulang ke rumah di Taman Gemilang, Bandar Cheneh Baru, dekat Kemaman, selepas selesai membeli belah.
“Saya difahamkan mereka juga ada singgah di Genting Highlands dan Hentian Rehat dan Rawat Temerloh sebelum kemalangan itu,” katanya yang kelihatan tenang ketika ditemui pemberita. – Bernama










