Suami mangsa kemalangan bas sukar gambarkan kejadian - Utusan Malaysia

Suami mangsa kemalangan bas sukar gambarkan kejadian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Seorang wanita maut manakala 40 lagi cedera selepas bas ekspres yang dinaiki mereka terbalik dalam satu kemalangan di Kilometer 33.5 Lebuh Raya Karak menghala ke ibu kota pada pukul 6.43 petang hari ini.

Bas tersebut yang membawa seramai 41 orang penumpang sedang dalam perjalanan menghala ke Shah Alam, Selangor dari Jerantut, Pahang.

Menurut sumber, mangsa, Emylia Md. Zaki, 35, sedang dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Shah Alam bersama suami serta dua anak mereka yang masing-masing berumur 11 dan 13 tahun.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, bas yang dinaiki keluarga berkenaan dipercayai telah terbabas dan merempuh pembahagi jalan sebelum terbalik.

“Mangsa yang mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian badan telah meninggal dunia di tempat kejadian manakala suami serta dua anaknya kini sedang mendapatkan rawatan di Hospital Selayang dan berada dalam keadaan stabil,” katanya.

Sementara itu, suami mangsa, Megat Laiman, 41, berkata, sangat sukar untuk beliau gambarkan apa yang telah berlaku.

“Buat ketika ini susah untuk saya ceritakan apa yang telah terjadi, saya juga sedang menahan kesakitan akibat daripada kemalangan tersebut,” katanya ketika ditemui di Hospital Selayang di sini sebentar tadi.

Difahamkan operasi menyelamat di kawasan kemalangan tamat sekitar pukul 10.30 malam dan kesemua mangsa telah dikejarkan ke Hospital Selayang, Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Sungai Buloh untuk mendapatkan rawatan.

Kemalangan berkenaan masih di dalam siasatan pihak polis dan saksi kejadian diminta tampil ke balai polis berdekatan atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Rasha Azrul Shafii di talian 019-392 5111 untuk membantu siasatan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN