BESUT – Sepasang suami isteri maut manakala anak lelakinya cedera ketika dalam perjalanan pulang selepas membeli juadah untuk berbuka puasa di Kampung Tempinis dekat Renek di sini kira-kira pukul 6.30 petang semalam.
Mangsa dikenali sebagai Mat Halimi Ibrahim, 31 yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 dan isterinya yang membonceng dikenali sebagai Nik Malini Nik Omar,31, dan anak mereka yang cedera, Mohd Haziq Daniel yang juga murid Tahun 2 Sekolah Kebangsaan Tempinis.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Mohd. Zamri Mohd Rowi memberitahu sebelum kejadian, kedua pasangan suami isteri itu bersama anaknya telah pergi ke bazar Ramadan di Kampung Tembila kira-kira lima kilometer dari tempat kejadian untuk membeli juadah berbuka puasa.
Katanya, setelah membeli ketiga-tiga mangsa telah balik ke rumahnya yang terletak di Kampung Tempinis melalui jalan Kampung Tembila-Kampung Renek untuk membuat persiapan berbuka puasa.
“Ketika motosikal yang dinaiki tiga beranak itu sampai di Kampung Tempinis tiba-tiba sebuah kereta jenis Proton Saga Aeroback yang datang dari arah bertentangan, dipandu oleh Mohd. Noor Zakiman Ibrahim ,49 telah terbabas ke kanan jalan sebelum melanggar motosikal yang dinaiki tiga beranak itu”, katanya kepada pemberita di sini hari ini. – Bernama










