REPINO, Rusia 22 Jun – Marcus Rashford bersedia untuk menggantikan Raheem Sterling dalam kesebelasan utama England apabila Three Lions menentang Panama dalam aksi kedua Piala Dunia, Ahad ini selepas nota strategi pasukan bocor serta tersebar di media sosial.
Pembantu jurulatih, Steve Holland secara tidak sengaja membocorkan senarai pemain yang bakal diturunkan ketika sesi latihan semalam apabila gambarnya memegang sekeping nota berjaya dirakam oleh jurugambar.
Di atas kertas tersebut tertulis, kesebelasan utama untuk perlawanan Kumpulan G di Stadium Nizhny Novgorod, dan nama Rashford digandingkan bersama Harry Kane.
Senarai itu turut menyebut, Ruben Loftus-Cheek bersedia dibawa masuk menggantikan Dele Alli yang masih dalam rawatan selepas mengalami kecederaan paha.
Rashford masuk sebagai gantian dan sempat beraksi selama 22 minit ketika England menumpaskan Tunisia 2-1, Isnin lalu.
Loftus-Cheek juga dibawa masuk menggantikan Alli pada perlawanan itu.
Pengurus England, Gareth Southgate merupakan penyokong kuat Sterling, malah dia mempertahankan bintang Manchester City itu ketika dia lewat tiba di kem latihan, selain menjadi mangsa kecaman ekoran kontroversi tatu rifle M-16 yang dilukis di betis kiri.
Begitupun, pemain sayap berusia 23 tahun itu gagal menunjukkan prestasi memberangsangkan ketika menentang Tunisia dan kini mengharungi 21 perlawanan tanpa gol bersama England sejak Oktober, 2015.
Rashford, 20, berjaya membentuk gandingan lebih baik bersama Kane, malah aksi baiknya dalam perlawanan persahabatan menentang Costa Rica, seminggu sebelum Piala Dunia bermula membolehkannya dipilih berbanding Jamie Vardy ketika bertemu Tunisia. – AGENSI










