KUALA LUMPUR 28 Jun – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat dakwaan mengenai sebuah syarikat kontraktor yang telah membuat tuntutan palsu terhadap beberapa projek landskap bernilai lebih RM80 juta di Putrajaya.
Difahamkan, projek-projek terbabit meliputi projek landskap di kediaman rasmi Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri serta premis-premis kerajaan di sekitar Putrajaya.
Menurut sumber, SPRM telah pun merampas beberapa dokumen berkaitan di pejabat syarikat itu semalam.
Katanya, syarikat tersebut telah dianugerahkan kontrak terbabit antara 2016 hingga 2017 untuk menyelenggara dan membekal pekerja-pekerja berkaitan.
“Syarikat tersebut dikatakan tidak menyelenggara dan melakukan kerja dengan sempurna, namun membuat tuntutan penuh berkaitan projek tersebut.
“Malah maklumat juga mendapati syarikat berkenaan tidak mempunyai kapasiti kerana tidak memiliki tapak untuk menanam bunga bagi landskap tersebut,” katanya. – UTUSAN ONLINE











