NIZHNY NOVGOROD – Jurulatih England, Gareth Southgate mengakui kurang menggemari persembahan skuad bimbingannya walaupun mereka sudah layak ke pusingan 16 pasukan terbaik selepas membenam Panama 6-1 kelmarin.
“Saya tidak gembira dengan cara kami memulakan perlawanan, malah saya juga kecewa kerana kami bolos satu gol walaupun telah menang dengan jaringan yang besar.
“Sedikit pujian perlu diberikan di posisi tengah yang berfungsi dengan sempurna. Perlawanan hari ini (kelmarin) sangat menghiburkan berbanding aksi terdahulu.
“Ini kerana jentera serangan kami berfungsi dengan lebih baik. Justeru, saya berharap ia akan kekal konsisten pada aksi kalah mata selepas ini,” katanya.
Sebagai rekod, England yang berada dalam Kumpulan G berkongsi enam mata bersama Belgium, sekali gus layak secara automatik ke aksi 16 pasukan terbaik walaupun saingan peringkat kumpulan masih berbaki satu perlawanan.
Pada saingan yang berlangsung di Stadium Nizhny Novgorod itu, England berjaya meledakkan gol pembukaan menerusi tandukan daripada pemain pertahanan, John Stones seawal minit kelapan sebelum mereka menggandakan gol menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh penyerang, Harry Kane pada minit ke-22.
Sembilan minit sebelum babak pertama perlawanan tamat, pemain tengah, Jesse Lingard meledakkan gol ketiga dari luar kotak penalti dan Stones sekali lagi menambah derita Panama apabila menjaringkan gol kedua peribadinya pada minit ke-40.
Belum puas dengan empat gol, England terus melancarkan serangan bertali arus yang menghadirkan jaringan hatrik kepada Kane selepas menyumbat dua lagi gol pada minit ke-45 dan ke-62.
Bagaimanapun, Panama berjaya meraih gol sagu hati hasil percubaan pemain pertahanan, Felipe Baloy pada minit ke-78. – Agensi











