KUALA LUMPUR 25 Jun – Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menyifatkan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagai kesan kegagalan kepemimpinan kerajaan terdahulu.
Sambil memberi beberapa contoh insiden kegagalan kepemimpinan di dunia, Timbalan Perdana Menteri berkata, meskipun terdapat peraturan dan undang-undang sedia ada di negara ini, skandal seperti itu berlaku disebabkan individu-individu berkaitan tidak mengikut ‘suara hati’ mereka dan menjadi tamak.
“Banyak krisis dan skandal yang berlaku di dunia ini adalah hasil daripada kegagalan kepemimpinan yang teruk. Misalnya, di Amerika Syarikat (AS) kita dapat melihat skandal penyelewengan Enron, krisis subprime dan di negara ini kita ada skandal 1MDB.
“Walaupun terdapat pelbagai mekanisme termasuk peraturan dan undang-undang sedia ada namun semua itu gagal disebabkan individu tertentu di sebalik krisis-krisis ini tidak mendengar suara hati mereka dan menjadi tamak.
“Semua kegagalan ini berlaku kerana orang atasan mahu mengaut keuntungan tanpa memikirkan kesannya kepada rakyat,” katanya ketika berucap di Sidang Kemuncak Tanggungjawab Korporat dan Pembangunan Mapan ASEAN 2018 anjuran Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI), di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










