Sivarasa lega dibebaskan tuduhan muat naik gambar palsu bekas PM - Utusan Malaysia

Sivarasa lega dibebaskan tuduhan muat naik gambar palsu bekas PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 28 Jun – Ahli Parlimen Sungai Buloh, R. Sivarasa menarik nafas lega apabila dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memuat naik muka hadapan palsu majalah Time membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, di laman Facebook miliknya, dua tahun lalu.


Memuatkan artikel berkaitan…

Hakim Zaman Mohd. Noor memutuskan demikian selepas pihak pendakwaan memaklumkan Jabatan Peguam Negara (AGC) menerima representasi daripada pihak pembelaan untuk menggugurkan pertuduhan berkenaan yang dihantar kepada jabatan itu pada 20 Jun lalu.

Melalui keputusan representasi tersebut, pihak pendakwaan menarik balik semua pertuduhan yang dikemukakan ke atas dihadapi tertuduh.

Pada 15 April 2016, Sivarasa, 62, selaku orang kena saman (OKS) mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menggunakan perkhidmatan aplikasi melalui laman Facebook akaun ‘Sivarasa Rasiah’ dalam dua pautan iaitu secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang palsu sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Sivarasa yang juga seorang peguam, didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu pukul 7.41 malam, 22 Mac 2016 dan pukul 4.59 pagi, 23 Mac 2016.

Dia didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan, jika sabit kesalahan.

Kedua-dua pautan itu dibaca di No. A-1110, Tingkat 11, Menara A Pandan Kapital, Jalan Pandan Utama, Pandan Indah di sini kira-kira pukul 9.20 pagi hingga 9.30 pagi, 23 Mac 2016.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Sophian Zakaria manakala OKS diwakili peguam M. Puravelan.

Sementara itu, Sivarasa ketika ditemui selepas tamat prosiding berkata dia bersyukur dengan pembebasan daripada pertuduhan tersebut.

“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak pendakwaan dan Jabatan Peguam Negara yang menarik balik pertuduhan ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini