Siti Nurhaliza kongsi pandangan dengan Majlis Penasihat Kerajaan - Utusan Malaysia

Siti Nurhaliza kongsi pandangan dengan Majlis Penasihat Kerajaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 7 Jun – Cadangan penyanyi ternama tanah air, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin, 39, agar Majlis Seni Negara diwujudkan mendapat perhatian apabila beliau dijemput berkongsi pandangan mengenai idea itu dengan Majlis Penasihat Kerajaan tengah hari tadi.

PENYANYI tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza ketika menghadiri mesyuarat Majlis Penasihat Kerajaan hari ini. – BERNAMA

Menurut Siti Nurhaliza, dalam pertemuan dengan Majlis Penasihat Kerajaan, beliau yang merupakan salah seorang daripada wakil industri hiburan memberi pandangan mengenai usaha-usaha penambahbaikan yang boleh dilakukan terhadap pembangunan industri seni tanah air.

Antara buah fikiran yang dikongsi Siti Nurhaliza dengan panel majlis berkenaan ialah sistem kutipan royalti yang lebih efektif serta peruntukkan dana yang sewajarnya untuk disalurkan kepada karyawan seni bagi meningkatkan kerjaya masing-masing.

Dalam pertemuan selama sejam itu juga, Siti Nurhaliza berkongsi pengalamannya mengenai senario industri hiburan dari pelbagai perspektif bagi memberi gambaran yang jelas kepada panel Majlis Penasihat Kerajaan.

Antara panel Majlis Penasihat Kerajaan yang mendengar pandangan Siti Nurhaliza ialah bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin, bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Hassan Merican dan ahli ekonomi terkemuka negara, Prof. Dr. Jomo Kwame Sundaram.

Berkongsi pengalaman dalam sesi perkongsian idea itu, Siti Nurhaliza berkata, beliau berasa sangat gembira kerana berpeluang membentangkan aspirasi dan pandangan mengenai usaha membangunkan industri hiburan.

“Saya gembira kerana ada yang mahu mendengar pandangan serta idea untuk menambah baik dalam apa sahaja bidang bukan sahaja bidang seni,” jelas penghibur yang sangat masyhur dengan lagu Cindai itu lagi.

Sebagai seorang yang aktif dan konsisten dalam lapangan muzik, Siti Nurhaliza memberitahu, beliau lebih banyak memberi maklum balas kepada Majlis Penasihat Kerajaan mengenai disiplin yang dekat dengan dirinya,

Selain Siti Nurhaliza, wakil karyawan seni lain yang turut berkongsi pandangan dengan Majlis Penasihat Kerajaan ialah sarjana serta pengulas filem dihormati, Hassan Muthalib, bekas Ketua Pengarah Finas, Datuk Kamil Othman, penyair, penulis, penterjemah dan budayawan, Eddin Khoo serta aktivis teater ternama, Jo Kukathas.

Sebelum ini, selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) bulan lalu, Siti Nurhaliza mencadangkan penubuhan sebuah pusat atau badan baru berupa ‘Art Council’ atau Majlis Seni Negara bagi menaik taraf industri seni negara.

Menurut Siti Nurhaliza, harapan beliau melalui penubuhan badan itu, setiap isu dilalui anak seni dapat didengari dan sekali gus mendapat perhatian daripada kerajaan

memandangkan industri seni juga menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara menerusi duti hiburan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN