SINGAPURA – Kerajaan Singapura memberitahu membelanjakan AS$12 juta (RM48.1 juta) bagi menjayakan persidangan bersejarah antara Amerika Syarikat (AS) dengan Korea Utara.
Presiden AS, Donald Trump dan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un bertemu di Singapura pada 12 Jun lalu dalam satu perbincangan yang bertujuan untuk menamatkan ketegangan nuklear di kedua-dua negara tersebut.
Pertemuan itu merupakan kemuncak ketegangan antara Pyongyang dan Washington serta menyaksikan komitmen Jong-un untuk menjayakan usaha pelucutan senjata nuklear, walaupun para pengkritik menyatakan perjanjian persidangan itu adalah samar-samar dan tidak terikat.
Singapura yang merupakan sebuah hab kewangan mewah dilihat sebagai pilihan lokasi sesuai bagi sidang kemuncak itu kerana mempunyai hubungan baik dengan AS dan Korea Utara selain memiliki reputasi undang-undang yang ketat.
Bagaimanapun sesetengah warga Singapura beranggapan kedatangan pemimpin-pemimpin yang sukar dijangka itu lebih menjengkelkan berbanding memberi penghormatan, terutama ketika Perdana Menteri, Lee Hsien Loong menganggarkan bahawa negara kecil itu bakal menanggung perbelanjaan sebanyak AS$14.7 juta (RM59 juta) untuk menjadi tuan rumah mesyuarat tersebut.
Bagaimanapun pada akhirnya, kos yang ditanggung oleh kerajaan Singapura adalah kira-kira AS$12 juta dengan bahagian terbesar dibelanjakan untuk keselamatan, kata seorang jurucakap Kementerian Luar dalam satu kenyataan.
Singapura mengendalikan operasi keselamatan secara besar-besaran untuk melancarkan mesyuarat tersebut termasuk mengerahkan beribu-ribu polis, membuat sekatan jalan selain mengharamkan suar dan pembesar suara berhampiran lokasi sidang kemuncak berlangsung bagi menghalang protes. – AFP











