JOHOR BAHRU 25 Jun – Satu sindiket pengedaran dadah jenis heroin berjaya ditumpaskan dengan tertangkapnya lapan ahli termasuk dalang kumpulan itu dalam tujuh serbuan berasingan di negeri ini kelmarin.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, tujuh daripada lapan lelaki yang ditahan merupakan rakyat tempatan, manakala seorang lagi warganegara Bangladesh yang disyaki ahli kimia.
Menurutnya, serbuan bermula pukul 2.40 petang hingga 7 malam oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan JSJN Johor berjaya membongkar tiga makmal dadah serta sebuah setor penyimpanan bahan kimia.
“Dalam serbuan itu, polis berjaya merampas 31.7 kilogram dadah dipercayai heroin, 1.06 kilogram (heroin base), 440 gram (ketamin), 110 gram (syabu) dan 84 kilogram bahan kimia memproses dadah disyaki kafein, selain mata wang tunai.
“Kita turut menyita lapan buah kenderaan, iaitu tiga Mitsubishi Triton, masing-masing sebuah Mercedes-Benz GLC 250, Honda Accord, Toyota Altis, Toyota Vios dan Nissan Teana,” katanya kepada pemberita di sini sebentar tadi.
Katanya, dadah berkenaan dianggarkan bernilai RM640,000 dan nilai sitaan RM800,000.
Beliau berkata, semua suspek yang berusia antara 29 hingga 59 tahun direman selama seminggu bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN ONLINE











