JOHOR BAHRU 25 Jun – Polis berjaya menumpaskan satu sindiket memproses dan mengedar dadah jenis heroin terbesar tahun ini dengan tertangkapnya lapan orang termasuk dalang kumpulan itu dalam tujuh serbuan berasingan di negeri ini, kelmarin.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, kesemua suspek berusia antara 28 hingga 59 tahun termasuk seorang warga Bangladesh disyaki ahli kimia itu ditahan dalam serbuan bermula pukul 2.40 petang hingga 7 malam.
Menurutnya, dalam serbuan itu, polis membongkar tiga makmal memproses dadah dipercayai heroin serta sebuah setor penyimpanan bahan kimia di tiga buah rumah di Bukit Indah dan masing-masing sebuah di Mutiara Rini, Taman Tan Sri Yaacob serta Taman Bukit Perdana, Batu Pahat dan di sebatang jalan di Kempas.
“Dalam serbuan itu, polis berjaya merampas 31 kilogram (kg) dadah disyaki heroin, 1.06 kg dadah disyaki heroin base, 440 gram ketamin, 110 gram syabu dan bahan kimia disyaki kafein dianggarkan seberat 85 kg selain pelbagai peralatan memproses dadah heroin dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan RM640,000.
“Lapan kenderaan iaitu tiga Mitsubishi Triton, masing-masing sebuah Mercedes-Benz GLC 250, Honda Accord, Toyota Altis, Toyota Vios dan Nissan Teana turut dirampas dalam serbuan itu dengan nilai sitaan dianggarkan RM801,000,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Khalil Kader Mohd.
Mohmad berkata, selain itu pihaknya turut merampas pelbagai mata wang termasuk Ringgit Malaysia, Thai Baht, Dolar Singapura dan Dolar Amerika yang keseluruhan bernilai RM66,000.
Beliau tidak menolak kemungkinan dadah yang dirampas adalah bagi edaran tempatan di seluruh negara dan beberapa negara jiran serta bahan utama digunakan termasuk kafein, asid hidroklorik dan racun tikus.
“Berdasarkan siasatan kesemua dadah yang dirampas itu mampu dibekalkan kepada 192,000 penagih,” katanya sambil memberitahu siasatan lanjut tentang kegiatan sindiket itu giat dijalankan termasuk memburu saki-baki ahli kumpulan berkenaan.
Menurutnya, kesemua suspek kini ditahan reman hingga Sabtu ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.










