KUANTAN – Kerajaan akan mengadakan persidangan khas pada 8 Ogos depan bagi memperhalusi setiap isu teknikal berkaitan pelaksanaan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk suri rumah.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, persidangan tersebut juga bakal disertai agensi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bersama KWSP serta beberapa pihak berkepentingan yang lain.
Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat turut menambah, langkah tersebut diadakan bagi membolehkan setiap isu berkaitan pelaksanaan caruman dapat diselesaikan menerusi kaedah terbaik.
“Memang ada beberapa isu teknikal yang menjadi kekangan seperti Seksyen 51 Akta KWSP dan Akta Kerja 1955,” ujar beliau kepada pemberita di sini hari ini. – K! ONLINE










