TASEK GELUGOR – Siasatan semua salah laku dan penyelewengan yang didakwa berlaku dalam Kementerian Pertahanan akan bermula selepas Hari Raya Aidilfitri, kata Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu hari ini.
Beliau berkata, Jawatankuasa Siasatan Khas yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang akan membentuk keanggotaan dalam jawatankuasa itu selepas Hari Raya Aidilfitri.
“Jawatankuasa itu baru diluluskan di peringkat Kabinet dan Ambrin akan bentuk keanggotaan dalam jawatankuasa lepas raya sebelum mulakan siasatan,” katanya selepas ditemui dalam Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri di kediamannya di Kampung Guar Petai hari ini.
Majlis itu turut dihadiri oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang dan barisan kepimpinan Pakatan Harapan negeri.
Mohamad berkata, Jawatankuasa Siasatan Khas itu akan menyiasat semua salah laku dan penyelewengan dalam semua kementerian termasuk Kementerian Pertahanan. – Bernama










