JOHOR BAHRU – Proses siasatan terhadap nilai barangan yang dirampas dari kediaman yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang kini dianggarkan bernilai RM1.1 bilion perlu disusuli dengan tindakan undang-undang dalam tempoh terdekat.
Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tindakan undang-undang itu boleh dilakukan oleh Pasukan Petugas Siasatan (Task Force) yang telah dibentuk Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bagi membawa pihak berkenaan ke muka pengadilan.
“Apa pun yang berlaku seterusnya, tindakan undang-undang perlu diambil dan ia tidak perlu mengambil masa yang terlalu lama kerana Perdana Menteri telah pun menubuhkan Task Force bagi menyelesaikan isu berkaitan 1Malaysia Development Berhad dan SRC International Sdn. Bhd.
“Tindakan undang-undang yang sesuai perlu diambil bagi memastikan pihak-pihak yang terbabit dapat dibawa ke muka pengadilan, dihakimi dan dihukum seberat-beratnya,” katanya kepada pemberita selepas melawat Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin di Bangunan Sultan Iskandar di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh mengenai jumlah keseluruhan nilai barangan yang dirampas bernilai antara RM900 juta hingga RM1.1 bilion. – Bernama











