PERSOALAN siapa yang akan dipilih menjadi ‘nakhoda’ baharu UMNO bakal terjawab di tangan 146,000 perwakilan parti itu yang memegang amanah besar untuk memilih barisan kepemimpinan baharu hari ini.
![]() |
|
AHMAD ZAHID HAMIDI
|
Lebih-lebih lagi selepas parti itu kalah teruk pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sehingga hilang kuasa mentadbir negara.
Sudah tentunya jawatan Presiden menjadi perhatian. Buat pertama kalinya, selepas 31 tahun, jawatan nombor satu parti itu dipertandingkan dan kali ini lima calon menawarkan diri.
Antara lima calon itu, yang dilihat sebagai pilihan ialah Tengku Razaleigh Hamzah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Khairy Jamaluddin.
Tengku Razaleigh merupakan individu terakhir mencabar institusi Presiden UMNO pada 1987, menentang Tun Dr. Mahathir. Beliau tewas hanya 43 undi.
Dan kali ini, dalam usaha ‘menyelamatkan’ parti daripada terus karam, Tengku Razaleigh dicadangkan oleh banyak akar umbi sebagai calon Presiden, manifestasi sokongan kuat diterima beliau. Tengku Razaleigh atau mesra disapa Ku Li juga dilihat banyak pihak sebagai ‘seteru’ paling ideal kepada Dr. Mahathir yang kini menjadi Perdana Menteri kepada kerajaan Pakatan Harapan.
Ahmad Zahid pula, walaupun ada suara-suara penolakan terhadap beliau kerana dianggap sebagai antara punca kekalahan UMNO, tetap mempunyai pengaruh yang kuat dalam kalangan akar umbi, memandangkan beliau sebelum ini memikul tanggungjawab sebagai orang nombor dua parti.
Khairy sudah tentunya menjadi pilihan ahli serta perwakilan yang benar-benar mahukan perubahan total kepada UMNO. Bekas Ketua Pemuda itu menjadi dambaan kumpulan yang dahagakan ‘peremajaan’ UMNO. Tidak hairan apabila ramai akar umbi yang ‘lega’ apabila beliau menawarkan diri untuk bertanding.
![]() |
|
TENGKU RAZALEIGH HAMZAH
|
Jawatan Timbalan Presiden menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara dua nama besar parti iaitu Datuk Seri Mohamad Hasan dan Tan Sri Annuar Musa.
Meskipun Annuar mempunyai pengalaman sebagai Ketua Penerangan parti, namun Mohamad dianggap calon pilihan kerana dilihat sebagai seorang pemimpin berwibawa oleh kawan dan juga lawan. Malah, banyak pihak berpandangan Mohamad sewajarnya bertanding jawatan nombor satu – petanda kepada kuatnya pengaruh beliau.
Jawatan Naib Presiden menyaksikan pertembungan tujuh penjuru dengan lima calon dilihat sebagai pilihan utama iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Datuk Seri Mahdzir Khalid, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dan Datuk Seri Johari Abdul Ghani untuk mengisi tiga kekosongan jawatan itu.
![]() |
|
KHAIRY JAMALUDDIN
|
Ismail Sabri, Mahdzir serta Tajuddin dianggap mempunyai kelebihan memandangkan ketiga-tiga mereka merupakan Ahli Parlimen dan mampu bersuara di Dewan Rakyat, namun Mohamed Khaled dan Johari yang tewas pada PRU-14 lalu pula dijangka memberi saingan sengit.
Apa juga percaturan ahli UMNO dalam menentukan barisan kepemimpinan baharu parti, yang lebih penting ialah tugas berat menanti Presiden, Timbalannya serta Naib-Naib Presiden untuk memulihkan dan menyuntik kebangkitan parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.
Perlu diingat, meskipun tewas pada PRU-14, namun, UMNO sebagai parti tunggal tetap menjadi pilihan rakyat terutamanya orang Melayu dan Islam apabila memenangi 54 kerusi Parlimen mengatasi parti-parti lain.














