Shahidan dicabar Khalid Ahmad - Utusan Malaysia

Shahidan dicabar Khalid Ahmad

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU 19 Jun – Datuk Seri Shahidan Kassim yang mempertahankan jawatan Ketua UMNO Bahagian Arau akan dicabar oleh Setiausaha Politik Menteri Besar, Khalid Ahmad dalam pemilihan parti itu, pada 30 Jun ini.

Khalid yang juga Ketua UMNO Cawangan RPA Arau menyerahkan borang pencalonan beliau untuk bertanding pada Ahad lalu sekali gus memberi gambaran akan berlaku pertembungan sengit bagi jawatan berkenaan.

Dalam pemilihan UMNO pada 2013, Khalid tewas kepada Datuk Ismail Kassim bagi jawatan Timbalan Ketua UMNO Bahagian.

Khalid berkata, beliau mengambil keputusan bertanding jawatan tersebut adalah dengan hasrat membawa perubahan kepada parti di bahagian ini.

Katanya, sudah tiba masanya UMNO Bahagian Arau mengalami perubahan selepas dipimpin oleh individu yang sama sejak sekian lama.

“Saya bertekad memperbetulkan UMNO Bahagian ini, tidak mahu lagi wujudkan banyak kem di dalam parti. Kita mahu UMNO yang pemimpinnya berjiwa bersih dan iklas,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Ismail yang juga adik kepada Shahidan akan mempertahankan jawatan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Arau dengan berhadapan saingan tiga penjuru dalam pemilihan kali ini.

Ismail yang merupakan penyandang jawatan berkenaan bakal berhadapan saingan Yusof Othman dan Salim Dahaman.

Bagi jawatan Naib Ketua UMNO Bahagian pula bakal menyaksikan persaingan tiga penjuru membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Empat, Nurulhisham Yaakob, Azit Yusop dan Zairul Annuar Kamis.

Manakala bagi Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian, seramai 29 calon menawarkan diri bagi mengisi jawatan tersebut. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN