KOTA KINABALU – Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB) menangguhkan tindakan pemotongan bekalan elektrik di pusat beli-belah terkemuka, 1Borneo Hypermall (1Borneo) di sini hari ini.
Menurut sumber, tindakan pengangguhan itu adalah berdasarkan daripada permintaan pihak kerajaan negeri yang meminta supaya rundingan dilakukan terlebih dahulu.
“Sepatutnya SESB memotong bekalan elektrik pada pagi ini tetapi ditangguhkan untuk tempoh tertentu,” kata sumber itu di sini hari ini.
Tindakan untuk memotong bekalan elektrik itu diambil ekoran kegagalan pihak pengurusan 1Borneo menjelaskan tunggakan yang mencecah sebanyak RM9.3 juta.
Tinjauan Kosmo! di 1Borneo hari ini mendapati pihak SESB tiba di lokasi pada pukul 9 pagi namun, beredar apabila tindakan pemotongan bekalan elektrik terbabit terpaksa ditunda.
Semalam, Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Azis Jamman menggesa supaya SESB mempertimbangkan semula keputusan untuk memotong bekalan elektrik di 1Borneo.
Katanya, ia demi kepentingan para peniaga dan pekerja di 1Borneo yang akan kehilangan sumber pendapatan ekoran masalah tersebut. – K! ONLINE











