Serena, Nadal, Sharapova teruskan kemaraan - Utusan Malaysia

Serena, Nadal, Sharapova teruskan kemaraan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIS 1 Jun – Serena Williams bangkit daripada ketinggalan satu set untuk menewaskan pemain muda Australia, Ashleigh Barty 3-6, 6-3, 6-4 bagi meneruskan kemaraan ke pusingan ketiga kejohanan tenis Terbuka Perancis, hari ini.

Juara tiga kali dan bekas pemain No. 1 dunia itu, yang menyarung catsuit berwarna hitam, beraksi pada Grand Slam pertamanya sejak memenangi Terbuka Australia 2017 ketika dia sedang hamil dua bulan.

Pemain berusia 36 tahun itu yang kini memburu gelaran Grand Slam ke-24, bakal berdepan wakil Jerman, Julia Goerges bagi merebut tempat ke peringkat 16 terbaik.

Jika dia berjaya melepasi pusingan ketiga, Williams bakal berdepan pula seteru lamanya, Maria Sharapova untuk melayakkan diri ke suku akhir.

“Kejayaan ini sesuatu yang luar biasa. Saya sangat gembira dapat kembali ke sini. Saya tewas set pertama dan berpendapat yang saya perlu berusaha lebih keras lagi, selepas itu baharulah Serena yang sebenar keluar.

“Saya akan kembali ke gelanggang, esok, untuk beraksi dalam acara beregu bersama Venus. Saya tidak kisah bermain untuk acara perseorangan dan beregu, saya akan tetap berjuang habis-habisan,” kata Williams.

Sementara itu, Sharapova, juara di Paris pada 2012 dan 2014, menyingkirkan Donna Vekic 7-5, 6-4 dalam perlawanan yang menyaksikan 10 servis dipatahkan dan lima kali mata akhir berjaya diselamatkan.

Bekas pemain No. 1 dunia, Sharapova yang turun selaku pilihan ke-28 pada tahun ini, bakal berdepan pilihan keenam, Karolina Pliskova dari Republik Czech bagi mencari laluan ke pusingan keempat.

“Dia telah memenangi gelaran besar di Stuttgart, jadi saya perlu benar-benar bersedia untuk perlawanan ini dan saya akan mempersiapkan diri saya,” kata Sharapova mengenai Pliskova, pemain yang pernah dikalahkannya pada final Piala Fed 2015.

Bintang tenis itu beraksi di Paris buat kali pertama sejak 2015. Dia digantung ekoran kesalahan doping pada 2016 dan enggan menerima tiket wild card pada tahun lepas.

Dalam saingan lelaki pula, juara 10 kali, Rafael Nadal mudah untuk mara ke pusingan ketiga bagi mencatat pertemuan dengan sahabat lamanya, Richard Gasquet.

Pilihan utama dan pemain No. 1 dunia, Nadal yang memburu gelaran ke-11, menewaskan wakil Argentina, Guido Pella 6-2, 6-1, 6-1 dan dia tidak menunjukkan sebarang masalah dengan prestasinya setelah terpaksa bergelut sewaktu menentang Simone Bolelli di pusingan awal. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN