Sentuhan Osman lahir jaguh dunia - Utusan Malaysia

Sentuhan Osman lahir jaguh dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BOLEH dikatakan untuk melahirkan atlet bertaraf dunia bukan satu tugas yang mudah, malah ia tidak datang dalam sekelip mata.

Pelbagai program dirangka untuk mencungkil bakat-bakat baharu setanding jaguh dunia tiga kali, Al-Jufferi Jamari dan ratu silat negara, Siti Rahmah Mohamed Nasir, namun hasilnya tidak memberangsangkan.

Justeru, pengurus besar Per­sekutuan Silat Kebangsaan (Pesaka), Datuk Osman Nok bertekad untuk merangka program khas lebih khusus untuk melahirkan atlet bertaraf dunia tanpa terikat dengan mana-mana persatuan lain.

Osman yang aktif dalam perguruan silat di Pahang dan me­rupakan pengasas silat cekak harimau telah menubuhkan sendiri pusat latihannya di Temerloh, Pahang.

Ketika ini ratusan pesilat terbaik lahir di bawah kelolaannya.

“Bagi melahirkan atlet terbaik bukan mudah dan sebelum ini saya cuba untuk fokus kepada dua hingga tiga atlet, namun hasilnya tidak memberangsangkan.

“Jadi dengan inisiatif sendiri, saya akan mencari beberapa atlet di bawah kelolaan saya 100 peratus tanpa terikat dengan mana-mana persatuan yang lain.

“Kita mahu atlet-atlet terbaik ini yang dilahirkan pada peringkat bawah. Kita akan melatihnya mengikut latihan dan modul yang tersusun rapi. Hasilnya kita dapat lihat seperti jagoan negara, Al-Jufferi yang kini tiada tandingnya.

“Saya yakin jika atlet dibentuk dari awal lagi mengikut corak latihan dan disiplin tinggi, kita mampu membentuk pesilat terbaik. Saya tidak kata program sedia ada ini tidak baik tetapi saya tidak mahu usaha tersebut diletak­kan di bahu sebelah pihak sahaja.

“Jika terdapat persatuan mempunyai idea yang lebih baik itu adalah perkara yang bagus. Ketika ini, silat mula dipertan­dingkan pada Sukan Asia dan tidak mustahil sukan ini akan berada di pentas Sukan Komanwel atau Sukan ­Olimpik tidak lama lagi,” katanya kepada Kos­mo! semalam.

Dalam pada itu, Pesaka bakal kehilangan empat pesilat terbaik mereka selepas dikatakan bakal membuat keputusan untuk berundur daripada dunia persilatan tidak lama lagi.

Tiga aset yang bakal meninggalkan Pesaka ialah Siti Rahmah (juara dunia 2016), Razak Gha­zali (juara dunia 2016), Faizul Nasir (pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur) dan Fauzi Khalid (juara dunia 2010).

“Selepas Sukan Asia kita menjangkakan ramai atlet senior negara akan bersara dalam dunia persilatan atas faktor usia. Beberapa atlet terbaik ini akan menjadi jurulatih untuk membantu kita melahirkan atlet pada peringkat akar umbi.

“Meskipun kita mempunyai barisan pelapis, namun tahap mereka masih belum capai yang terbaik. Saya akui kita berdepan kesukaran sekiranya mereka ini keluar daripada skuad senior.

“Bagaimanapun, saya yakin jika pesilat muda ini diberikan pendedahan lebih awal tidak mustahil mereka juga bakal setanding dengan atlet sedia ada,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN