Senegal 'silent killer' kembali menggegar - Utusan Malaysia

Senegal ‘silent killer’ kembali menggegar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETIKA pertama kali melangkah di pentas Piala Dunia pada tahun 2002, ramai beranggapan Senegal hanyalah sebuah pasukan pelengkap yang menjadi belasahan apatah lagi berada satu kumpulan dengan juara bertahan iaitu Perancis di samping Denmark dan Uruguay. 

Hadir dengan reputasi sebagai Naib Juara Piala Negara-negara Afrika awal tahun 2002, Senegal akhirnya melakukan keajaiban demi keajaiban bermula daripada mengalahkan Perancis dalam perlawanan pembukaan sehinggalah berjaya menjadi hanya pasukan ketiga dari benua Afrika melangkah ke peringkat suku akhir. 

Skuad 2002 yang dibarisi pemain seperti El Hadji Diouf, Henri Camara, Papa Bouba Diop, Khalilou Fadiga dan Salif Diao sememangnya wajar menjadi generasi emas Lions of Teranga, namun secara tiba-tiba negara yang terletak di Pantai Barat benua Afrika itu mengalami penurunan drastik. 

Memuatkan artikel berkaitan…

Kali ini, selepas 16 tahun, Senegal kembali semula ke kejohanan peringkat tertinggi. Dibimbing oleh wira 2002 iaitu Aliou Cisse, skuad kali ini tampak lebih mantap hasil gabungan pemain berpengalaman dan terkenal termasuk Sadio Mane dan Kalidou Koulibaly serta beberapa ‘wonderkid’ antaranya Keita Balde, Ismaila Sarr dan Moussa Wague. 

Berpaksikan formasi 4-4-2 yang kini sudah semakin dilupakan semasa menentang Poland, Senegal menggunakan kaedah yang lebih ‘direct’ mencari pemain di bahagian sayap untuk memulakan serangan. Kelebihan dan kepantasan empat pemain bahagian serangan iaitu Mane, Sarr, Mame Biram Diouf dan Mbaye Niang yang boleh bertukar-tukar posisi digunakan sebaik mungkin. 

Cumanya, tiada gerakan menarik dan kekurangan idea akibat ketandusan playmaker kreatif di bahagian tengah menyukarkan Senegal mencari lebih banyak gol apabila hanya mengharapkan ‘belas’ Thiago Cionek yang tertampan ke gawang sendiri. 

Gol kedua hasil sentuhan Mbaye Niang yang bijak mencuri peluang pula dilihat lebih kepada kesilapan pemain tengah Poland, Gregorz Krychowiak melakukan hantaran ke belakang. 

Kedua-dua pemain tengah yang diturunkan Aliou Cisse iaitu Idrissa Gueye dan Alfred N’Diaye bukanlah pemain kreatif yang bijak membuat hantaran berbahaya ke bahagian serangan kerana mereka lebih memberi tumpuan kepada aspek bertahan.

Pujian juga wajar diberikan kepada barisan pertahanan terutamanya dua bek tengah Senegal iaitu Salif Sane dan Koulibaly yang kental menangkis setiap gerakan Poland terutamanya menerusi penyerang berbisa, Robert Lewandowski. 

Walaupun memperoleh tiga mata berharga, namun banyak yang perlu Senegal perbaiki dan perkemas bagi menghadapi perlawanan kedua nanti menentang Jepun lebih-lebih lagi skuad Blue Samurai telah pun mendapat tonik tambahan apabila mengejutkan Colombia. 

Kemenangan ke atas Jepun dan kemungkinan layak ke pusingan kedua semestinya akan diraikan penuh bergaya oleh lebih 15 juta rakyat Senegal dengan tarian popular Mbalax. Mereka juga tentunya mengharapkan skuad kali ini mampu menebus kehampaan generasi emas yang tewas di tangan Turki pada tahun 2002 sekali gus melangkah lebih jauh lagi. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini