Semua projek rakyat di Pengerang diteruskan - Utusan Malaysia

Semua projek rakyat di Pengerang diteruskan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENGERANG 31 Mei – Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Pengerang akan meneruskan semua projek yang memberikan manfaat kepada penduduk setempat meskipun berlaku pertukaran kerajaan.

Yang Dipertua PBT Pengerang, Bukhari Abd. Rahman berkata, pihaknya sebagai sebuah ejen pelaksana tidak ada sebab menghentikan projek yang memberi kebaikan kepada rakyat.

“Kita akan teruskan apa juga program-program yang kita rancang dan setakat ini tiada program yang dihentikan atau ditangguhkan dengan sebab adanya perubahan pentadbiran kerajaan negeri yang baharu.

“Ini kerana sebahagian besar projek pembangunan yang dijalankan PBT Pengerang adalah projek memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Majlis Iftar dan Sumbangan Amal Ramadan Mukim Tanjung Surat anjuran PBT Pengerang di Masjid Felda Semenchu di sini semalam.

Yang turut hadir Timbalan Yang Dipertua PBT Pengerang, Hazlina Ab. Jalil; Kadi Daerah Kota Tinggi, Suhaimi Rebu dan Penghulu Mukim Tanjung Surat, Mohd. Azmir Mad Razuki.

Bukhari berkata, antara projek itu melibatkan pembinaan dewan orang ramai, medan-medan selera dan perumah transit untuk penduduk Pengerang yang memerlukan.

“Kesemua projek berkenaan merupakan projek yang dinantikan rakyat jadi tidak menjadi keperluan untuk dihentikan,” katanya.

Mengenai majlis itu, beliau berkata, bantuan melibatkan barangan keperluan asas dan wang tunai dibagikan kepada 51 pene­rima dari lima kampung di bawah Mukim Tanjung Surat.

Kampung berkenaan katanya, adalah Felda Air Tawar 1, Felda Air Tawar 4, Felda Air Tawar 5, Felda Semenchu dan Felcra Su­ngai Layau.

Katanya, program itu merupakan aktiviti tahunan PBT Pengerang dalam usaha meringankan beban golongan asnaf dan anak yatim di daerah ini menyambut Ramadan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN