TUMPAT – Sekumpulan sindiket penyeludupan tidak menghiraukan pihak berkuasa apabila berani menyeludup 650 kilogram beras bernilai RM7,600 pada siang hari di pangkalan haram Pak Su Roni, Simpangan di sini hari ini.
Kegiatan sekumpulan lelaki itu bagaimanapun berjaya dipatahkan oleh sepasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor bersama anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dari Rejimen 5 Renjer dalam satu serbuan pada pukul 12.30 tengah hari.
Pemangku Pegawai Pemerintah PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor, Inspektor Reduan Mohidin berkata, semasa tiba di lokasi serbuan, pihak berkuasa mendapati beberapa individu sedang memunggah sesuatu dari tebing Sungai Golok.
“Suspek berkenaan memindahkan bungkusan itu ke dalam sebuah kereta jenis Nissan Sentra yang berada di pangkalan haram Pok Su Roni.
“Terkejut dengan kehadiran pihak berkuasa, suspek berkenaan melarikan diri ke dalam semak berhampiran pangkalan haram tersebut,” katanya pada sidang akhbar di Markas Operasi PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor di sini hari ini.
Reduan berkata, pihaknya bertindak merampas kereta tersebut serta beras seberat 650 kilogram bernilai RM7,600. – K! ONLINE











