IMPIAN penyokong pasukan Selangor melihat skuad mereka beraksi semula di Stadium Shah Alam dijangka diketahui selewat-lewatnya awal bulan depan.
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, beliau optimis impian penyokong skuad Gergasi Merah sejak dua tahun itu mampu dicapai berbanding sebelum ini.
Katanya, beliau juga telah berjumpa sebanyak tiga kali dengan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah dan wakilnya sebelum ini bagi berbincang mengenainya.
“Saya rasa menjelang Julai, (akan) ada pengumuman mengenai FAS, kerajaan negeri dan bola sepak kerana masih menunggu beberapa perkembangan.
“Sehubungan itu, saya amat optimis awal Julai ini (pengumuman bermain di Stadium Shah Alam), sekiranya tiada perkara yang besar berlaku,” katanya selepas majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) semalam.
Amirudin turut tidak menolak kemungkinan Stadium Shah Alam akan digunakan sebagai gelanggang rasmi kepada wakil dua pasukan negeri itu dalam saingan Liga Super iaitu Selangor dan PKNS FC.
Jelas beliau, bagaimanapun kebenaran tersebut hanya bergantung pada keadaan dan kualiti di stadium berkenaan.
“Tiada masalah sebab sebelum ini Selangor dan PKNS FC bermain di lokasi sama.
“Cuma, saya sedang memastikan agar padang itu dapat digunakan. Kalau banyak sangat pasukan dalam satu tempat mungkin akan memberikan kesan kepada keadaan dan kualiti padang,” katanya.











