Segovia ketuai amukan Red Giants - Utusan Malaysia

Segovia ketuai amukan Red Giants

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 23 Jun – Hatrik Rufino Segovia membantu Selangor menghampiri final Piala FA selepas membelasah PKNS FC 4-0 dalam separuh akhir pertama di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras hari ini.

Penyerang kelahiran Sepanyol itu, yang mendahului senarai penjaring terbanyak Piala FA dengan lapan gol memulakan pesta tuan rumah pada minit ke-39 apabila menampan bola hantaran D. Kugan dalam kotak penalti.

Belum habis penyokong Red ­Giants meraikan gol pembukaan, Segovia mengandakan kedudukan seminit kemudian apabila menyambut hantaran jauh Ilham Udin sebelum menewaskan penjaga gol PKNS, Tauffiq Ar Rasyid Johar.

Skuad Semut Merah bimbingan Datuk K. Rajagobal berpeluang merapatkan jurang sebelum tamat babak pertama, namun tendangan Romel Oswaldo sekadar menyinggah palang.

Segovia melengkapkan hatriknya pada minit ke-56 selepas sekali lagi memanfaatkan hantaran Kugan, sebelum menjadi punca kepada gol sendiri PKNS yang dilakukan pertahanannya, Azmizi Azmi lapan minit kemudian.

Juara lima kali, Selangor yang dikendalikan Nazliazmi Nasir bakal kembali ke ‘kampung halaman’ di Stadium Shah Alam bagi aksi timbal balik menentang PKNS pada 30 Jun ini.

Sementara itu, dalam satu lagi aksi separuh akhir pertama, juara dua kali, Pahang sekadar seri 1-1 dengan PKNP FC di Stadium Darul Makmur, Kuantan.

Skuad Tok Gajah dikejutkan de­ngan gol pembukaan PKNP seawal minit ke-13 menerusi Ahmad Sukri Ab. Hamid, sebelum Wan Zaharulnizam Zakaria menyamakan kedudukan pada minit ke-25.

Pahang menguasai babak ke­dua, namun gagal mencari gol kemenangan.

Laluan berliku menanti Pahang apabila berdepan wakil Perak itu dalam aksi timbal balik, 1 Julai ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN