Sebuah lembaran baharu - Utusan Malaysia

Sebuah lembaran baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJARAH penubuhan UMNO pada 1946 bermula de­ngan kesatuan dan kesedaran orang Melayu mengenai kepentingan menubuhkan sebuah negara baharu yang berdaulat. Sebuah negara berdaulat yang bebas daripada penjajahan pihak British pada ketika itu.

Atas niat dan idea yang suci mulia ini, orang Melayu telah bersatu mencapai kemerdekaan buat negara tercinta ini bersama kaum-kaum lain yang menduduki bumi bertuah ini. Sepanjang tempoh pemerintahan selama 60 tahun, UMNO bersama Barisan Nasional (BN) telah mencapai begitu banyak kejayaan dalam membawa nama Malaysia di persada antarabangsa menjadi sebuah negara yang di­segani di seantero dunia. Di samping kejayaan itu, UMNO sentiasa memelihara setiap warganegara Malaysia untuk hidup aman damai dan harmoni.

Bagaimanapun, bak kata pepatah, bumi mana tidak di­timpa hujan. Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, satu gelombang rakyat telah menyaksikan kejatuhan kerajaan UMNO-BN tanpa disangka oleh pucuk pimpinan parti sendiri. Di manakah silapnya sehingga terdapat sebuah penolakan secara mendadak terhadap BN?

Kekalahan ini adalah sebuah tamparan hebat buat UMNO secara keseluruhannya. Tetapi, kekalahan ini telah memberi peluang buat UMNO untuk mencerminkan diri, menilai dan membuat keputusan penting tentang hala tuju UMNO baharu selepas kekalahan. Adalah rugi jika kita sekadar menuding jari kepada hanya pihak tertentu untuk disalahkan.

Hakikatnya, setiap ahli perlu bertanggungjawab dan be­kerjasama untuk memastikan agar UMNO terus relevan sebagai parti pembangkang dan mengembalikan kemenangan pada pilihan raya umum yang akan datang. UMNO mesti sedar bahawa UMNO perlu berubah.

UMNO kini dahagakan satu DNA perjuangan baharu yang tidak boleh lagi mengharapkan undi-undi safe deposit seperti di Felda, kawasan-kawasan luar bandar dan di Sabah dan Sarawak sahaja. UMNO perlu memastikan sebuah agenda perjuangan yang mampu menarik sokongan rakyat Malaysia seluruh negara terutamanya golongan belia. PRU-14 ini telah jelas menunjukkan penolakan orang muda melalui pengundian di saluran muda.

Sudah pasti UMNO perlu memperkenalkan sebuah pendekatan baharu dalam konteks kerjasama dengan parti-parti komponen pada PRU akan datang. Kerjasama yang lebih relevan dan diterima rakyat. Selain itu, keahlian BN juga boleh didaftarkan secara terus tanpa perlu menjadi ahli kepada mana-mana parti komponen. Konsep khemah besar UMNO perlu diterjemahkan dalam bentuk seperti ini di peringkat BN.

Seterusnya, UMNO terutamanya golongan muda perlu menjadikan parti ini sebagai parti berilmu dan berbudi bahasa. UMNO mesti berupaya untuk mengutarakan hujah-hujah berkualiti dan relevan untuk diperdebatkan di gelanggang akademik, media sosial dan paling penting di Parlimen. Banyak kritikan dibuat berikutan beberapa Ahli Parlimen yang berhujah seperti ‘monyet’. Parlimen adalah dewan yang mulia yang mana segala perdebatan dan hujah perlulah menyelesaikan masalah dan bersifat ilmiah. Sebaliknya, apa yang terjadi adalah terdapat ­penghujahan yang dianggap tidak masuk akal dan sekadar memperkecilkan parti lawan. Perkara-perkara seperti ini lah yang telah membangkitkan perasaan amarah rakyat kepada kerajaan pada ketika itu.

Ingin saya menegaskan kembali apa yang telah diperkatakan melalui penulisan saya yang sebelum ini, kekalahan ini diharapkan dapat membebaskan UMNO daripada budaya politik warlord dan amalan eksploitasi politik demi meraih kekayaan serta pengaruh.

Medan politik bukanlah tempat kita untuk mengaut kekayaan sebaliknya inilah tempat untuk kita memperjuangkan nasib bangsa, agama dan negara. Diharap kekalahan ini akan memberi kesedaran kepada parasit-parasit yang telah mencalarkan imej UMNO dan membawa semula bahtera perjuangan ini ke jalan yang benar.

Pemilihan Agung UMNO yang akan datang ini bakal menentukan hala tuju baharu UMNO bagi menghadapi PRU-15. Saya yakin dan percaya ahli-ahli UMNO akan menggunakan kebijaksanaan yang ada untuk membuat keputusan tepat demi parti keramat ini. Pemimpin yang bakal dipilih seharusnya berupaya untuk menjalani dan memperbetulkan kesilapan dan keretakan yang telah terjadi.

Saya mengharapkan UMNO akan menjadi parti yang mampu membangkang dengan hujah dan fakta, bukan seperti pembangkang dahulu yang menyerang kerajaan hanya dengan sentimen dan fitnah.

Tibalah masa kita untuk membuka sebuah lembaran baharu buat UMNO. Kekalahan yang dihadapi perlu diambil sebagai teladan dan iktibar untuk diingati sampai bila-bila. Patah sayap bertongkat paruh, perjuangan ini tidak akan sesekali dihentikan. UMNO akan kembali bangkit berjuang, demi nusa dan bangsa yang tercinta.

SENATOR KHAIRUL AZWAN HARUN ialah Naib Ketua Pemuda UMNO.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN