KANGAR 29 Jun – Calon Presiden UMNO, Khairy Jamaluddin mengakui agak kecewa dengan kenyataan Tengku Razaleigh Hamzah yang menyindir beliau ‘memandai’ kerana mengambil keputusan bertanding jawatan nombor satu parti itu.
Khairy berkata, dalam kenyataan-kenyataan awal Tengku Razaleigh sebelum ini, Ahli Parlimen Gua Musang itu sentiasa menegaskan bahawa UMNO mesti meraikan keterbukaan, demokrasi dan persaingan sihat di dalam parti.
“Saya ada baca kenyataan beliau (Tengku Razaleigh), saya agak kecewa dengan kenyataan tersebut apatah lagi sebelum-sebelum ini Tengku Razaleigh sering menitik beratkan soal keterbukaan dan demokrasi di dalam UMNO.
“Dalam konteks itu, kenapa cakap saya tidak layak dan tidak sepatutnya bertanding (jawatan Presiden UMNO). Kalau betul Tengku Razaleigh hendak bawa perubahan dan jadikan UMNO parti terbuka kenapa seolah-olah pandang remeh mengenai kebolehan orang lain yang bertanding,” katanya ketika ditemui selepas majlis perjumpaan dengan ahli UMNO negeri di sini hari ini.
Khairy berkata demikian selepas diminta mengulas kenyataan Tengku Razaleigh semalam yang seolah-olah tidak bersetuju dengan tindakan beliau bertanding jawatan Presiden UMNO dalam pemilihan parti itu.
Tengku Razaleigh yang juga calon Presiden UMNO dilaporkan berkata, tindakan ‘memandai’ Khairy itu berisiko kerana bagi setiap pertandingan ada yang kalah dan menang.
Mengulas lanjut, Khairy berkata, beliau meraikan keterbukaan di dalam UMNO apabila mengambil keputusan bertanding jawatan tertinggi itu.- UTUSAN ONLINE










