KUALA LUMPUR 31 Mei – Samsung Malaysia Electronics (Samsung) melancarkan televisyen QLED 2018 baharu yang menggabungkan ciri kepintaran ekspresi visual, paparan penyesuaian serta aplikasi SmartThings yang dikuasakan oleh kepintaran buatan (AI) dan berharga antara RM8,489 hingga RM34,904 sebuah.
Ketua Divisyen Audio Visual Samsung Malaysia Electronics, Vincent Lee berkata, televisyen QLED baharu didatangkan dalam tiga model iaitu Q9F 4K Smart QLED TV, Q8C 4K Curved Smart TV dan Q7F 4K Smart QLED TV.
Menurut beliau, pengguna masa kini lebih gemar menonton di skrin besar kerana ia dapat memaparkan kualiti imej yang lebih jelas, pemasangan yang mudah dan menggunakan teknologi berasaskan AI bagi menyambungkan telefon pintar ke televisyen.
“Menyedari perubahan trend tersebut, kami menawarkan QLED TV dengan saiz skrin sebesar 55 inci hingga 75 inci. Bagi menghasilkan imej berkualiti pula, ciri Direct Full Array yang menggunakan panel dengan zon kawalan pencahayaan latar pintar membantu melakukan penyesuaian automatik yang menyerlahkan kejituan warna gelap dan cerah.
“Antipantulan pula memaksimumkan kualiti tontonan dari pelbagai sudut dengan kontras yang tinggi. Teknologi Q Engine meningkatkan kualiti kandungan paparan secara automatik kepada UHD bagi memberi pengalaman menonton terbaik kepada pengguna,” katanya dalam majlis pelancaran Samsung QLED TV di sini hari ini.
Yang turut hadir, Presiden Samsung Malaysia Electronics, Yoonsoo Kim dan Ketua Pengguna Elektronik Samsung Malaysia Electronics, Jimmy Tan.
Tambah Lee, gaya QLED TV 2018 turut berubah dengan teknologi inovasi terbaharu yang menukar skrin konvensional berwarna hitam kepada skrin magik (Magic Screen) yang memaparkan pelbagai maklumat masa nyata seperti jam, cuaca dan berita apabila tidak digunakan.
Katanya, jika televisyen dilekatkan pada dinding ia mampu untuk meniru apa juga corak yang digunakan di dinding itu dan memaparkannya kembali pada skrin seolah-olah tiada apa-apa perbezaan di sana.
“Selain itu, kami juga meminimumkan kabel sambungan dengan mengintegrasikan wayar kuasa dan data dalam satu kabel sahaja.
“Kawalan teknologi pintar lebih mudah dengan SmartThings yang mana pengguna boleh mengakses pelbagai aplikasi pada QLED TV melalui satu menu intuitif,” ujarnya.










