‘Salah’ impi julang Iraq - Utusan Malaysia

‘Salah’ impi julang Iraq

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGHDAD 7 Jun – Dengan penampilan berjambang, rambut kerinting dan memakai jersi bola sepak, penyerang Iraq, Hussein Ali sering disangka sebagai bintang Mesir, Mohamed Salah.

Di Baghdad, ibu negara Iraq, Ali, 20, sering ditahan di kawasan kejiranannya di Hurriya oleh orang ramai yang mahu bergambar dengan idola mereka.

Biarpun dia adalah penyerang kelab Al-Zawraa, wajah Ali yang seiras Salah menarik perhatian peminat bola sepak Iraq.

“Pada sesi latihan pertama, dia memperkenalkan dirinya sebagai ‘Hussein Ali’. Saya kata, ‘Tidak, tidak, anda adalah Mohamed Salah,” kata jurulatih Ali, Adnan Mohammad.

Ketika Salah beraksi bersama AS Roma, Ali mula menyedari wajah mereka seiras, namun menganggap semua komen yang diterima sebagai jenaka.

Bagaimanapun apabila nama bintang Mesir itu semakin berkembang di seluruh dunia ekoran perpindahannya ke Liga Perdana Inggeris dan digelar sebagai ‘pemain bola sepak No. 1 Arab’, Ali mula memberi perhatian terhadap imejnya.

Sejak itu dia mula menyarung jersi Liverpool, kelab yang dianggotai Salah.

“Ini jersi sebenar, dibeli daripada pembekal rasmi,” katanya penuh bangga di depan rumah kecilnya di Baghdad.

Ali berkata, dia membayar AS$40 (RM159) untuk jersi berkenaan, sebelum mengambil baju tersebut dengan penuh cermat.

Sejak akhir-akhir ini, ‘Mohamed Salah Iraq’ akan sentiasa disapa dan didekati oleh peminat yang mahu bergambar setiap kali keluar berjalan-jalan.

“Kelmarin, ketika saya berada di pusat membeli belah, pengawal keselamatan, pekerja kedai dan pelanggan mereka semua mahu mengambil gambar dengan saya…begitu juga gadis-gadis di situ.

“Ketika Mohamed Salah cedera, ada yang datang melawat saya seolah-olah saya yang menderita. Di kawasan kejiranan saya, sepanjang tempoh beberapa hari mereka yang terserempak dengan saya mendoakan saya segera sembuh,” katanya sambil ketawa.

Menurut Ali, beraksi di posisi yang sama dengan Salah, dia akan melakukan segala-galanya untuk cuba bermain sehebat penyerang Liverpool itu. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN