SEMPENA Ramadan tahun ini, Hotel Premiera yang terletak di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur menawarkan bufet Ramadan dengan pelbagai juadah berbuka puasa.
Cef Eksekutif Hotel Premiera, Abdul Rashid Yusop berkata, konsep bufet Ramadan yang diketengahkan adalah bertemakan bufet gerai dengan dekorasi yang unik di keseluruhan aras hotel.
“Bufet gerai ini menyediakan juadah seperti otak-otak, apam balik, sata ikan, kebab dan pemanis selera yang pasti akan membuatkan para pelanggan teruja menikmatinya.
“Semua gerai ini dihias untuk mengimbau nostalgia Jalan Tunku Abdul Rahman,” katanya yang ditemui di hotel berkenaan baru-baru ini.
Abdul Rashid berkata, antara hidangan utama yang diketengahkan ialah kambing panggang yang diperap istimewa dan dibakar menggunakan kayu arang, sup tulang rawan berempah berserta roti benggali, nasi ambeng, rendang Tok Bertawi, ayam bakar madu dan udang gulai kawah.
Menariknya, Abdul Rashid berkata, harga yang ditawarkan adalah begitu berpatutan iaitu RM88 untuk dewasa dan RM40 kanak-kanak.
“Bagi yang bermalam dengan tempahan bilik, pakej Ramadan juga disediakan berharga RM360 untuk satu malam berserta sahur dan iftar bagi dua orang dewasa,” katanya lagi.
Abdul Rashid turut memberitahu, pengunjung ditemani dengan koleksi Lukisan@Premeira yang diteruskan dengan siri pameran ketiga dengan tema Rukun dan siri keempat berkonsepkan kerohanian.
“Lukisan itu dijual dengan harga berpatutan kepada pengunjung yang berminat,” ujarnya.










