KUALA LUMPUR 1 Jun – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerahkan notis memerintah kehadiran kepada isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor hari ini bagi membantu siasatan berkaitan SRC International.
Menurut sumber, notis meminta Rosmah perlu ke iIbu Pejabat SPRM Putrajaya Selasa depan pada pukul 11 pagi bagi memberi keterangan.
“Surat berkenaan diserahkan oleh pegawai SPRM yang mengunjungi kediaman Najib di Jalan Langgak Duta di sini pada pukul 4 petang hari ini,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, beberapa pegawai SPRM kelihatan meninggalkan kediaman Ahli Parlimen Pekan itu dengan membawa sebuah beg dipercayai mengandungi dokumen yang diambil dari kediaman itu.
Semua pegawai berkenaan meninggalkan kediaman itu pada pukul 5.30 petang. – UTUSAN ONLINE










