SAUDARA PENGARANG, SAYA menyokong penuh saranan penduduk Taman Hillview, Kuala Lumpur agar sisa tinggalan Highland Tower yang terbiar sejak tragedi bangunan tumbang 25 tahun lalu dirobohkan sepenuhnya supaya tidak terus dijadikan sarang penagih dadah dan masalah sosial.
Laporan Utusan Malaysia pada 24 Jun lalu membuatkan saya terkejut kerana saya fikirkan baki dua blok pangsapuri 12 tingkat itu sudah lama dirobohkan sebaliknya masih berdiri teguh dan ‘berpenghuni’.
Saya masih ingat tragedi yang berlaku pada 1993 itu walaupun ketika itu masih kecil. Disebabkan liputan tragedi itu televisyen tempatan memulakan siaran 24 jam dan negara menjadi tumpuan dunia.Disebabkan saya tinggal di negeri lain, saya cuma menjangkakan baki blok yang tidak tumbang itu akan dirobohkan pihak berkuasa kerana sudah tidak selamat untuk didiami.
Mencecah usia 40 tahun, sungguh tidak disangka tapak tragedi itu kini menjadi sarang penagih dan tempat remaja melepaskan nafsu tanpa menghormati mangsa-mangsa yang kehilangan nyawa berhampiran tempat mereka membuat onar.
Saya harap pihak berkuasa segera bertindak merobohkan baki dua blok tersebut supaya tidak mencemari memori mangsa yang kehilangan nyawa dalam tragedi itu.
ALIFF AZIZ
Manjung, Perak











