KUALA LUMPUR 23 Jun – Dua individu terpaksa menggigit jari mengenangkan ditipu lebih RM12,000 untuk mendapatkan kenderaan oleh seorang ejen penjual kereta terpakai sejak April hingga bulan lalu.
Kejadian itu disedari selepas majikan suspek mendapati hanya wang deposit sebanyak RM500 sahaja diterima sedangkan mangsa telah membuat bayaran penuh untuk kenderaan tersebut.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd. Yusoff berkata, kejadian itu disedari mangsa selepas mereka gagal memperoleh kenderaan seperti dijanjikan sebelum membuat dua laporan polis berkaitan kes itu.
Menurutnya, turut membuat laporan polis berhubung kejadian itu ialah bekas majikan syarikat suspek.
“Pada pertengahan April lalu, mangsa telah pergi ke premis menjual kenderaan terpakai untuk membeli kereta Perodua Myvi dan membayar wang deposit sebanyak RM1,500. Kemudiannya menyerahkan lagi RM500 wang deposit kepada suspek sebelum membuat bayaran penuh sebanyak RM6,000 ke akaun milik suspek pada awal Mei lalu.
“Bagaimanapun, ketika berjumpa majikan suspek, dia memaklumkan pengadu hanya membuat bayaran sebanyak RM500,” katanya di sini hari ini.
Ahmad Dzaffir memberitahu, mangsa kedua juga telah tertipu dengan modus operandi yang sama.
Ujarnya, buat masa ini usaha memburu suspek sedang dilakukan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.










