Ringgit terus susut, ditutup RM4.0290 - Utusan Malaysia

Ringgit terus susut, ditutup RM4.0290

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 27 Jun – Ringgit terus menyusut ke paras RM4.0290 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) setelah ditutup petang ini. Semalam mata wang itu ditutup pada RM4.0180 berbanding dolar AS.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pasaran saham pula susut 9.78 mata kepada 1,666.08 mata yang menyaksikan 278 kaunter naik, 558 kaunter jatuh dan 410 kaun­ter tidak berubah.

Menurut Bloomberg, ringgit jatuh ke paras paling rendah selepas dolar AS semakin meng­ukuh didorong peningkatan harga minyak mentah.

Penganalisis Maybank IB Research, Liaw Thong Jung berkata, harga minyak mentah diunjur berlegar antara AS$70 hingga AS$75 (RM282.23 hingga RM302.38) setong sepanjang tahun ini dan 2019.

“Keputusan Pertubuhan Negara-Negara Pengeksort Petroleum (OPEC) untuk merendahkan pematuhan dan menyelaraskannya kepada 100 peratus pematuhan adaalah lebih baik berban­ding jangkaan awal pasaran. Ia mencerminkan kawalan tambahan bekalan minyak mentah yang lebih ketat sekali gus boleh mencapai harga lantai pada AS$70 setong,” katanya dalam nota kajian di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Ekonomi dan Penyelidikan Ambank Research, Dr. Anthony Dass berkata, ringgit memulakan pembukaan tahun dengan kukuh sebelum melepasi paras RM4 berbanding dolar AS baru-baru ini, yang kali terakhir dilihat pada akhir 2017.

Katanya, antara faktor utama yang mendorong keadaan ini dise­babkan dolar AS semakin mengukuh selepas Rizab Persekutuan AS menaikkan kadar faedah tahun ini, kebimbangan krisis hutang pasaran ekonomi baharu muncul dan isu perang dagangan antara AS dan China.

“Disebabkan beberapa faktor luaran ini, kami juga mendapati pasaran ekuiti tempatan mencatatkan aliran keluar bersih sebanyak RM6.1 bilion setakat ini manakala pegangan asing dalam sekuriti kerajaan Malaysia (MGS) jatuh kepada 41.9 peratus setakat akhir Mei lalu berbanding 45.7 peratus pada Januari 2018.

“Kami melihat ringgit akan diniagakan sekitar RM3.98 hingga RM4.02 berbanding dolar AS pada suku kedua tahun ini dan secara berperingkat-peringkat akan meng­ukuh kepada RM3.90 hingga RM3.93 akhir tahun ini,” katanya.

Dengan mengambil kira keada­an ekonomi semasa, beliau menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 3.25 peratus sepanjang tahun ini dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC), 11 Julai ini yang dipengerusikan Gabenor BNM yang baharu, Datuk Nor Shamsiah Mohd. Yunus.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini