Restoran di Kemaman diarah tutup kerana kotor - Utusan Malaysia

Restoran di Kemaman diarah tutup kerana kotor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN – Sebuah restoran makanan yang dimiliki pengusaha bukan Islam di Jalan Masjid dekat sini diarah tutup serta-merta semalam selain dikenakan notis atas beberapa kesalahan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kemaman.

Pegawai kesihatan daerah, Dr. Mohd. Anuar Abd. Rahman berkata, seramai lapan anggota penguat kuasa menjalankan operasi pemeriksaan ke atas tiga buah kedai makan bukan Islam di sekitar bandar Chukai yang beroperasi pada bulan Ramadan.

Menurutnya, salah sebuah daripada tiga restoran yang diperiksa telah diarahkan tutup selama 14 hari mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983 berikutan tahap kebersihan yang tidak mencapai piawaian.

“Hasil pemeriksaan mendapati bahan mentah seperti sayur-sayuran diletakkan di atas lantai yang kotor selain beras yang disimpan di dalam stor dibiarkan di atas rak tanpa pelapik.

“Stor tersebut juga sangat kotor, berbau dan menjadi tempat pembiakan lipas. Kami juga mendapati terdapat sisa makanan dan air buangan tidak diuruskan dengan sempurna sehingga menimbulkan bau yang memualkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Anuar berkata, kehadiran lipas di premis berkenaan boleh menjadi agen pembawa bakteria penyebab penyakit yang mendatangkan risiko seperti keracunan makanan.

Jelas beliau, hasil penilaian yang dilakukan juga mendapati restoran berkenaan memperolehi markah rendah iaitu 49 peratus, dibawah paras yang ditetapkan iaitu sebanyak 60 peratus. – K! ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN