ARAU 19 Jun – Kegembiraan tiga sekawan menghabiskan cuti Hari Raya Aidilfitri dengan mandi-manda bersama di sebuah kolam di Kubang Siput, Kurong Anai di sini berakhir dengan duka selepas salah seorang daripada mereka ditemukan mati lemas hari ini.
Mayat mangsa, Mohamad Azwan Ahmad Nizam,13, ditemukan oleh sekumpulan anggota bomba yang melakukan operasi mencari di kawasan berkenaan pada pukul 12.45 tengah hari.
Sebelum itu, mangsa bersama dua orang rakannya itu keluar dari rumah untuk ke kolam berkenaan kira-kira pukul 10 pagi.
Abang mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Fendi, 19, berkata, dia tidak menyangka hasrat adiknya yang pertama kali mandi di kolam tersebut berakhir dengan satu tragedi yang menyedihkan.
“Sebelum ini adik tidak pernah mandi di kolam tersebut kerana ia terbiar dan sangat dalam. Cuma pagi tadi ada dua orang kawannya datang jemput adik di rumah dan keluar bersama-sama dengan basikal mandi di kolam tersebut,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Sementara itu, seorang rakan mangsa yang enggan dikenali berkata, Azwan merupakan orang pertama yang terjun ke kolam berkenaan sebaik sahaja mereka sampai untuk mandi di situ.
“Dia (Azwan) terjun dahulu sebelum terkapai-kapai. Kami difahamkan Azwan tidak mahir berenang. Melihatkan keadaannya itu, kami tidak berani untuk menyelamatkannya kerana khuatir turut lemas. Kami kemudian pergi bagi mendapatkan bantuan daripada orang ramai,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Nanda Maarof ketika dihubungi mengesahkan mengenai kejadian berkenaan.
Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung kejadian itu kira-kira pukul 10.54 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian.
“Operasi mencari mangsa dilakukan oleh pihak bomba dan mayat mangsa ditemukan kira-kira pukul 12.45 tengah hari. Mangsa disahkan meninggal dunia ditempat kejadian,” katanya.
Katanya lagi, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar untuk proses bedah siasat. – UTUSAN ONLINE










