Rebut kesempatan rai anak yatim - Utusan Malaysia

Rebut kesempatan rai anak yatim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 31 Mei – Peluang meraikan anak yatim terutama pada bulan Ramadan sewajarnya direbut semua pihak kerana ia menjadi amalan yang sangat tinggi ganjarannya dalam agama.

Pegawai Jawi, al-Quran, Arab dan Fardu Ain (j-QAF) Pendidikan Daerah (PPD) Tanah Merah, Dr. Mohd. Zawawi Mohamed berkata, jika dibandingkan dengan orang miskin yang mungkin masih mempunyai keluarga, anak yatim sebaliknya hilang terus tempat bergantung dan kasih sayang.

Beliau berkata, Nabi Muhammad SAW sangat menyanjungi golongan yang menjaga anak yatim sebagaimana maksud hadis: “Aku dan penjaga anak yatim dalam syurga seperti ini” sambil mengisyaratkan dengan jari telun­juk dan jari tengah yang dirapatkan.

“Ini menunjukkan betapa rapatnya kedudukan antara Nabi Muhammad SAW dengan penjaga anak yatim dalam syurga.

“Dalam satu lagi hadis maksudnya: “Sesiapa yang mengusap kepala anak yatim atau berbuat baik semata-mata kerana Allah SWT, pahala baginya ialah setiap helai rambut yang disentuh ta­ngannya,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan tazkirah pada majlis berbuka puasa sempena Jelajah Ramadan 2018 anjuran Jabatan Penyiaran negeri di sebuah hotel di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir, Pengarah Penyiaran negeri, Noriani Mohd. Idris serta tiga penaja utama program iaitu Pengarah Urusan Rohban Trade Sdn. Bhd., Shah Rizal Ibrahim; Pengurus Cawangan Pe­rodua Sales Sdn. Bhd., Ariff Ambia Che Udin dan wakil dari Eniq World Sdn Bhd.

Pada majlis itu seramai 40 anak yatim dari Yayasan Kebajikan Anak-Anak Yatim Kelantan (Yaatim) yang diraikan turut menerima sumbangan wang zakat.

Sementara itu, Noriani berkata, program Jelajah Ramadan dilaksanakan Jabatan Penyiaran de­ngan kerjasama pihak swasta di seluruh negara dari 15 Mei hingga 8 Jun ini.

“Ini adalah tahun ketujuh pelaksanaan program yang mana biasanya juruhebah radio akan turun ke seluruh pelosok negeri termasuk perkampungan Orang Asli untuk menyampaikan bantuan.

“Kita bersyukur kerana bilangan penaja bertambah setiap tahun malah kita masih meng­alu­-alukan penajaan daripada pi­hak-pihak berminat kerana terdapat banyak lagi aktiviti kita rancang termasuk membantu persediaan sambutan raya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN